Deepavali: Sebuah Perayaan Cahaya
Deepavali (juga dikenali sebagai Diwali di negara-negara lain) merupakan satu perayaan yang disambut oleh komuniti India di seluruh dunia, seperti Hindu, Jain, Sikh dan juga penganut Buddha Newar Nepal. Ia merupakan satu perayaan cahaya yang riang gembira, di mana kaum keluarga bersatu pada malam yang tergelap dalam tahun untuk menyalakan lilin, bermain mercun dan memberi hadiah. Mereka meraikan kemenangan kuasa baik mengalahkan jahat, sambil mereka mengingati cerita dan peristiwa bersejarah.
Walaupun amalan utamanya berhubung dengan Rama (penjelmaan semula Dewa Vishnu) dan Sita (penjelmaan semula permaisurinya Lakshmi), di India Selatan, ia juga kadang kala dikaitkan dengan pasangan kedewaan Shiva-Shakti. Menurut Skanda Purana, Dewi Shakti telah memerhati tempoh kezahidan selama 21 hari, bermula dari hari kelapan dalam tempoh bulan membesar (ashtami kepada shukla paksha) untuk mendapatkan separuh tubuh Dewa Shiva. Perjanjian kezahidan ini dikenali sebagai kedhara vrata.
Deepavali menandakan hari terakhir kezahidan ini, juga dikenali sebagai kedhara gauri vrata, untuk menandakan hari di mana Dewa Shiva menerima Shakti ke dalam bentuk sebelah kirinya dan menjelma sebagai Ardhanarishvara. Penganut setia menandakan hari ke-21 vrata dengan membuat kalasha dengan 21 utas benang di atasnya dan memberikan 21 jenis persembahan selama 35 hari.
Dewi Shakti juga dikenali sebagai Amma (yang bermaksud ‘Ibu’) di selatan India terutamanya di negeri Karnataka, Tamil Nadu, Kerala, Telangana dan Andhra Pradesh, yang dapat menjelaskan kenapa sesetengah kaum India di Malaysia mengaitkan Deepavali kepada Dewi Shakti. Ramai penduduk kampung yang mempercayai Shakti sebagai pelindung; penghukum mereka yang membuat jahat, penyembuh kepada penyakit, dan yang memberi kebajikan kepada kampung.
Latar Belakang
Asal-usul Deepavali bermula di kerajaan Ayodhya, di mana bersemayam Raja Dasharatha yang bijaksana dan berkuasa, bersama dengan tiga orang permaisurinya yang pandai dan rupawan; Kaushalya, Kaikeyi dan Sumitra. Raja itu tidak memiliki putera untuk mewarisi kerajaannya, dan bersama-sama dengan permaisuri-permaisurinya telah berdoa dengan bersungguh-sungguh kepada dewa dewi.
Doa mereka dimakbulkan apabila kedewaan tuhan api Agni, bangkit dari api pemujaan memegang semangkuk puding beras (dikenali sebagai payasam dalam Tamil atau kheer dalam Hindi). Agni memberitahu raja dan permaisuri-permaisurinya yang dewa dewi berbesar hati dengan pengorbanan mereka, sehinggakan Vishnu sendiri membuat keputusan untuk dilahirkan di dunia sebagai putera mereka. Permaisuri-permaisuri hendaklah membahagikan puding beras itu diantara mereka, dan bila sampai masanya, anak-anak suci akan dilahirkan kepada mereka.
Sewaktu Raja Dasharatha mula membahagikan puding di antara ketiga-tiga permaisurinya, seekor burung gagak melayah turun dan mengambil bahagian Sumitra sebelum sempat dijamahnya. Kaushalya dan Kaikeyi betindak dengan segera berkongsi bahagian mereka dengan Sumitra.
Bila tiba masanya, Rama telah dilahirkan oleh Permaisuri Kaushalya, Bharata oleh Pemaisuri Kaikeyi, dan kembar dua Lakshmana dan Shatrughna oleh Permaisuri Sumitra. Permaisuri Sumitra mendapat kembar kerana telah memakan dua bahagian puding beras tersebut. Keempat-empat putera itu merupakan anugerah tuhan, perlambangan kepada kehebatan Dewa Vishnu, maka mereka mempunyai kecantikan, kekuasaan dan kemahiran. Namun di antara keempat-empat putera tersebut, Putera Rama adalah yang paling berani, bijaksana dan kacak.
Pada hari keempat-empat putera tersebut menjadi dewasa, Raja Dasharatha mengisyhtiharkan kerajaannya akan diwarisi putera sulungnya Rama, yang disambut dengan gembira oleh semua rakyatnya kecuali seorang; Manthara. Dia merupakan orang suruhan yang bebadan bongkok kepada Permaisuri Kaikeyi, bonda kepada Bharatha. Manthara meracuni fikiran Permaisuri Kaikeyi dengan kata-kata dusta terhadap Rama; bahawa apabila Rama menjadi raja kelak, dia akan mengkhianati anaknya Bharatha dan membuangnya dari negeri. Manthara menyakinkan Permaisuri Kaikeyi untuk pergi menghadap raja dan menuntut agar puteranya Bharatha dijadikan raja dan supaya Rama dihalau dari kerajaan.
Raja amat berdukacita, namun bersetuju kerana baginda telah bersumpah kepada Permaisuri Kaikeyi bertahun dahulu, untuk menunaikan segala permintaannya. Walaupun semua orang telah mengangkat taat setia kepda Rama; dia dan isterinya Sita, bersama adinda bongsunya Lakshmana, dengan patuh meninggalkan Ayodhya untuk tinggal di hutan. Bharatha amat terkejut dengan tindakan ibunya. Dia telah meminta sepasang capal daripada Rama, dan meletakkannya di atas takhta, dan memberitahu Rama bahawa dia akan memerintah kerajaan bagi pihaknya sehingga dia kembali. Sepasang capal di atas takhta lantas menjadi lambang pemerintahan Rama.
Di sebuah pulau Lanka yang terletak jauh, tinggal seorang raja syaitan yang kuat dan kejam yang dipanggil Ravana, yang mempunyai sepuluh kepala dan dua puluh tangan, dan bergerak menerusi udara dengan menaiki pedati yang ditarik oleh baghal yang bergigi tajam dan memakan manusia. Ravana yang jahat itu akan menghantar syaitan-syaitannya untuk mengganggu para bijaksana dunia, untuk menggendalakan persembahan kepada dewa dewi dan menyeksa kehidupan rakyat jelata.
Apabila Rama, Sita dan Lakshmana tiba ke kawasan tersebut, orang ramai menyambut mereka dengan penuh gembira, dan meminta putera-putera itu melindungi mereka dari syaitan-syaitan Ravana. Maka, Rama dan Lakshmana pun mengangkat senjata mereka dan berlawan dengan gerombolan syaitan, dan melindungi lelaki dan wanita bijaksana. Syaitan-syaitan tersebut pulang menghadap Ravana dan melaporkan bahawa mereka telah dikalahkan oleh Rama dan Lakshmana.
Berang, Ravana terbang dengan pedatinya menuju ke tempat di mana putera-putera itu hidup dalam kesederhanaan. Apabila dia ternampak akan kecantikan Sita, dia membuat keputusan untuk menjadikannya salah seorang isterinya di Lanka. Dia mengumpan Rama dan Lakshmana untuk meninggalkan pondok mereka di hutan, dan kemudian menyamarkan dirinya sebagai seorang tua yang tidak berdaya untuk meminta minuman dari Sita. Sebelum sempat Sita membawakannya minuman, dia telah menyauk Sita ke dalam tangannya dan membawanya ke pulau terpencil Lanka.
Rama dan Lakshmana terkejut dengan kehilangan Sita. Mereka mula mencarinya namun tidak berjaya sehinggalah mereka terjumpa dengan raja burung hering, Jetayu, terbaring dan cedera di atas tanah. Jetayu memberitahu mereka dia ternampak raja syaitan itu terbang dengan pedatinya, dan bersamanya, seorang wanita cantik yang menjerit meminta pertolongan. Jetayu telah cuba untuk menolong tetapi telah teruk dicederakan oleh Ravana.
Rama dan Lakshmana segera bertolak mencari Ravana dan mereka terserempak dengan Sugriva, Raja kepada monyet. Sugriva dan semua monyetnya bersungguh-sungguh mahu membantu dan mereka berpecah ke seluruh arah untuk mengesan Sita. Salah satu dari pengikut Sugriva, adalah monyet gagah bernama Hanuman, yang telah menjumpai Sita, dan sebaik sahaja ternampak olehnya, Hanuman terbang turun dan memberitahunya bahawa dia bersama dengan Rama dan Lakshmana untuk menyelamatkannya.
Hanuman telah membuat helah ke atas Ravana dan syaitan-syaitannya dengan membenarkan mereka untuk menangkap dan mengikatnya dengan tali. Syaitan-syaitan itu telah membakar ekor Hanuman dan dengan serta-merta dia melepaskan diri dari ikatannya dan meloncat dari bumbung ke bumbung, dan telah membakar seluruh Lanka. Hanuman kemudian melarikan diri dan menceritakan penemuannya kepada Rama. Rama, Lakshmana dan Hanuman serta sekumpulan monyet-monyet yang bengis telah berarak ke arah laut dan membina sebuah jambatan dari batu untuk menyeberang ke Lanka dan menyelamatkan Sita.
Mereka telah bertempur dengan Ravana selama beberapa hari, menangkis pelbagai muslihat licik yang digunakan oleh Ravana. Akhirnya mereka berjaya mengalahkan dan membunuhnya, dan Rama dan Sita bersatu semula dengan sorakan kuat dari Lakshmana, Sugriva, Hanuman dan tentera monyet. Rama, Sita dan Lakshmana kemudian mengucapkan selamat tinggal kepada rakan monyet mereka dan kembali pulang menuju Kerajaan Ayodhya.
Sepanjang perjalanan, rakyat bergembira dan menyalakan pelita untuk meraikan kejayaan mereka menewaskan Ravana. Rakyat Ayodhya sungguh gembira menerima kepulangan Rama dan Sita, dan menyalakan lilin sepanjang laluan pulang mereka. Bandar Ayodhya yang indah, terang benderang dengan cahaya tatkala keempat-empat putera itu bersatu kembali.
Rama dan Sita menaiki takhta dan memerintah dengan bijaksana bertahun lamanya. Sehingga ke hari ini, Deepavali dirayakan untuk menyambut kepulangan Rama dan Sita dan kemenangan kuasa baik mengatasi kuasa jahat, kebenaran mengatasi kejahilan, dan cahaya mengatasi kegelapan. Hanuman kemudiannya telah menjadi salah satu dari pengikut Rama yang paling setia dan salah satu dari pendewaan utama dalam Hindusime. Doa dan puja khas yang didedikasikan kepada Dewa Hanuman diadakan sehari sebelum Deepavali di India Utara dan Gujarat. Hari ini dikenali sebagai Narak Chaturdashi, Kali Chaudash, Roop Chaturdashi atau Chaudash.
Di beberapa kawasan, hari sebelum Deepavali juga dipercayai sebagai hari kelahiran Hanuman. Dewa Rama sendiri mengisytiharkan bahawa rakyat haruslah sentiasa memuja Hanuman dahulu sebelum memuja dirinya. Memandangkan cara termudah untuk mencapai kaki Dewa Rama adalah melalui Hanuman, jadi tidak hairanlah, para penganut menjalankan puja Hanuman sebelum Deepavali. Harus dinyatakan di sini, di kebanyakan kawasan, hari kelahiran Hanuman, yang dikenali sebagai Hanuman Jayanti, disambut pada hari bulan penuh di dalam bulan Chaitra, antara bulan Mac-April.
Pada hari Deepavali itu sendiri, penyembahan dan puja khas juga dijalankan untuk Dewa Hanuman, di mana sindhur (merah merona) dan minyak dipersembahkan kepadanya. Hanuman dipercayai memberikan kekuatan untuk melawan makhluk jahat dan perkara yang tidak baik pada hari ini.
Perayaan Deepavali di Malaysia
Seperti semua perayaan keagamaan, Deepavali merupakan masa untuk kaum keluarga berkumpul, dan ia merupakan cuti umum di Malaysia. Mereka yang menganut kepercayaan Hindu meraikan perayaan ini secara besar-besaran. Dalam hari-hari menjelang Deepavali, banyak beli-belah perlu dilakukan untuk pakaian baru (sari), gelang tangan, dan perhiasan perayaan. Juga terdapat banyak masak-memasak, dan setiap keluarga akan mengisi semula rempah ratus untuk menyediakan kudapan dan makanan Deepavali kegemaran sebagai persiapan menantikan sahabat handai yang akan berkunjung dan menyertai sambutan perayaan. Little India merupakan destinasi beli-belah untuk keperluan ini.
Tanglung kertas dan kolam berwarna-warni, sejenis rekaan perhiasan lantai yang halus yang diperbuat daripada beras atau serbuk yang diwarnakan; akan dipasang sebagai perhiasan di rumah. Diya (pelita tanah liat) juga dinyalakan untuk menghiasi setiap ceruk rumah pada hari Deepavali yang bertuah dan membangkitkan semangat perayaan.
Kolams
Sebuah kolam, dengan motif rekaan, corak dan warna yang pelbagai, merupakan sebuah luahan perasaan dan kebiasaannya dilukis di hadapan rumah untuk menyambut tetamu. Ekspresi ini tidak semestinya bersifat keagamaan dan kadang kala boleh menyampai keprihatinan sosial. Walau bagaimana pun, perasaan inilah yang memberikan nafas kepada bentuk-bentuk yang sebaliknya akan menjadi kosong tanpa maksud.
Di masa lampau, ayam-ayam akan mematuk dan tupai akan menjilat licin tepung beras yang digunakan untuk melukis kolams. Kini, serbuk batu digunakan, yang mempunyai faedah sampingan dengan menghindari serangga-serangga kecil. Dengan semakin ramai yang duduk di bangunan-bangunan tinggi, kertas pelekat boleh digunakan sebagai ganti.
Rekaan dan corak-corak halus yang membentuk kolams bermula sejak awal dalam sejarah. Merentas abad, lukisan kolams berkembang menjadi bentuk kesenian yang sofistikated, namun beberapa tahun kebelakangan ini, ia mula menghilang. Namun, ianya masih boleh dilihat sebagai sebahagian dari amalan keagamaan di rumah, dan popular di kompleks membeli-belah sebagai perhiasan lantai. Beberapa minggu sebelum Deepavali, kolam-kolam yang cantik boleh dilihat di Pavilion KL, Gardens Mall dan Suria KLCC.
Pelita Tanah Liat
Diya, diyo, deya, divaa, deepa, deepam atau deepak adalah sejenis pelita tanah liat yang digunakan di India dan Nepal, kebiasaannya diperbuat daripada tanah liat, dengan sumbu daripada kapas yang direndam di dalam minyak sapi atau minyak sayuran. Diya menghasilkan cahaya apabila sumbu terbakar menggunakan bahan api minyak, dan pelita tanah liat di kuil yang digunakan untuk memberkati jemaah, dirujuk sebagai aarti.
Diya tanah liat seringkali digunakan sebagai cahaya sementara untuk peristiwa istimewa, sementara diya yang diperbuat daripada loyang menjadi kelengkapan tetap di rumah dan kuil. Diya berasal dari India dan Nepal dan kerap kali digunakan di dalam perayaan keagamaan Hindu, Sikh, Jain dan Zoroastrian, termasuklah Deepavali. Sejenis lampu yang sama yang dipanggil pelita mentega, juga digunakan sebagai persembahan oleh agama Buddhis Tibet. Di Tamil Nadu, diya juga dipanggil deepam dan dinyalakan terutama semasa kelanjutan Deepavali atau Karthikai Deepam.
Pelita yang dinyalakan dianggap sebagai simbol bertuah yang menghalau kuasa jahat dan menjemput masuk kebahagiaan dan kesejahteraan. Pelita-pelita ini dinyalakan sepanjang malam, dan rumah akan dibersihkan sebelum perayaan untuk menyambut Dewi Lakshmi, dipercayai penganut Hindu sebagai dewi kekayaan dan permaisuri kepada Dewa Vishnu.
Walau bagaimana pun, terkandung lebih banyak perlambangan terhadap sebuah diya. Kebanyakan keluarga Hindu menyalakan diya sekali setiap pagi dan petang. Ia bukan sahaja menjadi amalan kebiasaan tetapi melambangkan penyerahan jiwa seseorang kepada kuasa agung.
Minyak di dalam sebuah diya melambangkan kekotoran (tamak, hasad dengki, kebencian, nafsu) yang kebiasaannya akan terkumpul oleh manusia dalam menjalani kehidupan, sementara sumbu kapas merupakan simbolik kepada aatman (diri). Jadi untuk mencapai kesedaran dan bersatu dengan Brahman (kuasa agung), seseorang itu harus meninggalkan kebendaan.
Tambahan pula, sebuah diya itu juga melambangkan pengetahuan. Seseorang yang jahil kerap kekal dalam kegelapan dan tidak mampu untuk mengikuti peristiwa-peristiwa yang belaku disekelilingnya. Hanya apabila dia mendapat sedikit pengetahuan barulah dia dapat menyedari tujuan kewujudannya. Oleh itu, diya menandakan penewasan kejahilan melalui pengetahuan dengan meninggalkan kemahuan kebendaan.
Berikut merupakan mantera dalam bahasa Sanskrit yang menegaskan kepentingan jyoti (cahaya) dalam perjalanan seseorang yang harus diamalkan untuk mencapai ketenangan dalaman:
Asato maa sad-gamaya (Bawalah kami dari Ketidakbenaran kepada Kebenaran)
Tamaso maa jyotir-gamaya (Dari Kegelapan kepada Cahaya)
Mrityor-maa-mritan gamaya (Dari Kematian kepada Keabadian)
OM shaanti shaanti shaanti (OM damai, damai, damai)
Jadi, sebuah diya bukan sahaja alat perhiasan tetapi mengingatkan semua untuk meninggalkan kemahuan kebendaan dan mengalahkan kejahilan mereka dengan mendapatkan pengetahuan, jika mereka ingin bersatu dengan Tuhan.
Mandian Minyak
Abhyang snan (ritual mandian suci) mengambil tempat pada hari pertama Deepavali, selalunya pada waktu pagi, untuk membersihkan tubuh dan jiwa. Memandangkan abhyang snan dilakukan sebelum terbit matahari, ia dianggap sama suci seperti mandi di dalam sungai Ganges.
Begitulah sifat-sifat yang terdapat pada abhyanga snan sehinggakan ada pakar-pakar yang mencadangkan mengambil abhyanga snan setiap hari untuk mendapat kebaikannya, oleh kerana ia membantu meningkatkan peredaran, membuang sel-sel kulit mati, membersihkan sepenuhnya tubuh, dan menenangkan minda menerusi aromanya.
Kaedah melakukan abhyang snan adalah seperti berikut:
- Bangun sebelum matahari terbit
- Mengurut seluruh tubuh dengan minyak harum
- Biarkan minyak itu meresap ke dalam kulit selama lebih kurang setengah jam
- Sapukan uptan/utane/utnah (sejenis pes dari rempah ratus dan tepung gram) dan urut sepenuhnya tubuh sebagai penyental semulajadi sebelum membilas dengan air.
- Mandi seperti biasa menggunakan sabun harum, kebiasaannya diwangikan dengan ros atau kayu cendana.
- Memakai pakaian baru. Kebiasaannya, pakaian tradisional seperti sari, lehenga, churidar kurta dan salwar kameez akan dipakai.
Melawat Kuil-kuil
Selepas memakai persalinan baru yang dibeli sebelum perayaan, penganut Hindu kemudian akan bersembahyang di rumah atau di kuil-kuil.
Di Kuala Lumpur, penganut akan ke kuil-kuil seperti Kuil Sri Subramaniyar di Batu Caves. Orang asing dan pelancong juga dipersilakan untuk berkunjung dan menyertai perayaan, begitu juga untuk menikmati juadah-juadah yang dijual oleh peniaga di premis-premis tersebut. Di Ipoh, mereka mempunyai perbandaran ‘Little India’ mereka sendiri, di mana suasana perayaan begitu meriah dengan pengunjung dan perhiasan-perhiasan Deepavali yang berwarna-warni.
Di Pulau Pinang, kuil-kuil sepanjang Jalan Kebun Bunga dipenuhi dengan semangat Deepavali, dengan Kuil Arulmigu Balathandayuthapani menjadi tumpuan utama pesta perayaan. Memandangkan kebanyakan kedai-kedai di Little India akan ditutup, kebanyankan orang ramai termasuk para pelancong, mengambil kesempatan ini untuk bersiar-siar ke kawasan seperti Lebuh Queen, Lebuh Chulia dan Jalan Pasar.
Selepas bersembahyang di kuil, para penganut biasanya akan pulang ke rumah dan membuka kediaman mereka untuk kaum keluarga dan sahabat handai berkunjung dan berkumpul untuk berkongsi dan berhubung dan menikmati santapan dan kudapan perayaan. Mercun juga akan dinyalakan sebagai sambutan dan untuk menakutkan semangat jahat.
Makanan Deepavali
Deepavali merupakan satu sambutan yang meriah, berwarna-warni dan penuh kegembiraan yang dinyatakan melalui warna, cahaya dan makanan. Kira-kira sebulan sebelum perayaan, kaum wanita akan berkumpul bergilir-gilir di dapur masing-masing untuk membuat kudapan Deepavali seperti manisan India, juga dikenali sebagai mithai.
Mithai diperbuat daripada tepung kacang kuda, tepung beras, suji, pelbagai kekacang, lentil dan bijian, labu, lobak merah, dicampur dengan pekatan susu pekat atau yogurt. Kacang gajus, badam, pistasio, bijan, kacang chironji, kelapa atau kismis boleh ditambah dan boleh digoreng dan diharumkan dengan rempah ratus manis seperti buah pelaga, kayu manis, bunga cengkih, daun halba segar atau buah pala, sebelum dihiasi dengan safron, air ros atau daun pandan, dan daun perak atau emas yang boleh dimakan.
Terdapat pelbagai variasi mithai seperti ‘shakkarpara’ yang berbentuk berlian, ‘sev’ berbentuk seperti mi dan pelbagai jenis puri manis dan savuri. Keistimewaan wilayah, seperti ‘mawa kachori’, ‘moti pak’ dan ‘sohan papdi’ memerlukan persediaan yang rumit, dan mithai pada masa kini terdapat dalam variasi rendah lemak, kurang gula dan dibakar. Menjadi kebiasaan untuk saling bertukar kotak mithai yang dihias indah, buah-buahan kering, kekacang, atau mangkuk hidangan perak antara keluarga dan sahabat.
Secara tradisinya, makanan istimewa yang berbeza-beza akan dimasak pada hari yang berlainan dalam perayaan dan ini semakin berbeza mengikut kawasan. Secara amnya, puri, yang secara tradisinya digoreng dalam minyak sapi yang mahal, menggantikan roti dan dihidang bersama pelbagai jenis dal, kari sayuran, kudapan bergorang seperi pakora dan puding pada setiap hari perayaan. Kebanyakan kaum India, walaupun bukan semuanya, meneruskan amalan vegetarian mereka pada waktu ini.
Hari pertama mungkin menyaksikan mereka yang menyambutnya, memakan bijian-kasar gandum merekah yang dimasak sauté dengan minyak sapi dan gula yang dikenali sebagai ‘lapsi’, yang sangat popular kerana ia dikaitkan dengan kekayaan. Ia mungkin dihidang bersama dengan kari yang dibuat dengan kacang panjang, yang melambangkan kelanjutan usia berdasarkan panjangnya.
Hari kedua mungkin menyaksikan anarasa dihidang, sejenis masakan nasi dan jaggery yang dikaitkan dengan penghapusan semangat jahat. Puding beras bersusu; kheer atau payasam, juga dimakan bersama pakora yang nipis dan gebu dibuat dari lentil urad.
Makanan perayaan lain dari sekitar benua kecil itu termasuklah ‘galaka’, sejenis kari yang dibuat dengan labu seakan-akan zukini; ‘ukkarai’ masakan tepung sadur daripada kacang kuda terbelah dan kacang hijau yang distim; ‘sheera’, manisan lembut dari suji dan disaute dengan kismis, kacang gajus, buah pelaga dan safron; sejenis bubur bijian-halus gandum merekah yang distim dan ditambah minyak sapi dan gula yang dikenali sebagai ‘kansar’; donut peroi yang dipanggil ‘balushahi’; roti manis yang berisi kacang hijau dilecek, safron dan buah pelaga, dipanggil ‘poli’.
Kaum wanita menghabiskan masa seharian di dalam dapur sebelum Deepavali untuk membuat manisan dan makanan kegemaran kaum lelaki, dan diberikan hadiah yang mewah sebagai balasan.
Ke Mana Hendak Dituju di Kuala Lumpur
Kebanyakan restoran dan kedai di Kuala Lumpur akan beroperasi seperti biasa sewaktu Deepavali, tetapi perniagaan yang dimililki kaum India biasanya ditutup pada waktu ini. Terdapat dua kawasan yang dikenali sebagai Little India di Kuala Lumpur yang boleh dikunjungi untuk menyaksikan persiapan dan sambutan Deepavali. Satunya terletak di kawasan yang dipanggil Brickfields, yang terletak dalam jarak berjalan kaki dari KL Sentral (stesen keretapi pusat utama bagi Kuala Lumpur). Anda hanya perlu mengikut tanda arah ke stesen KL Monorail.
Kuil Hindu seperti Kuil Sri Kondaswamy Kovil dan Kuil Sri Mahamariamman merupakan tempat terbaik untuk peluang bergambar. Sebagaimana dengan tempat-tempat keagamaan yang lainnya, anda hanya perlu memastikan anda berpakaian sesuai (jangan berseluar pendek dan berbaju tanpa lengan) dan bergerak ke sana di awal pagi, sewaktu penganut Hindu mengadakan sembahyang dan menjalankan upacara ritual.
Satu kawasan lagi terletak sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman, yang tidak jauh dari stesen metro RapidKL Masjid Jamek, atau stesen Monorail Medan Tuanku.
Membeli-belah
Antara perkara pertama yang dilakukan bagi mereka yang merayakan Deepavali adalah untuk membeli pakaian baru. Pusat membeli-belah utama untuk pakaian India adalah Masjid India di KL dan Little India di Klang.
Madras Store di Masjid India telah beroperasi selama 30 tahun. Sari, kain dan gelang tangan mereka yang berpatutan diimport dari India. Shivom disyorkan untuk kain-kain dan baju Punjabi yang berwarna terang. Koleksi di Haniffa’s lebih kecil, tetapi lebih berkualiti tinggi. Harga sari kapas dan sifon adalah antara RM25 hingga mencecah ribuan ringgit bagi sari sutera tulen Kanchipuram. Lucky Noble juga menjadi hentian popular. Harga di situ bermula dari RM120, disebabkan kemasan manik dan sulaman yang halus.
50 minit menaiki KTM dari KL Sentral membawa anda ke Little India di Klang. Dikenali sebagai Jalan Tengku Kelana, tempat ini benar-benar merupakan lubuk harta untuk segala yang anda perlukan. Gayathiri Silk Sarees Palace mempunyai rekaan-rekaan yang menawan diimport dari India, dan mereka murah hati dalam memberikan diskaun. Bersebelahan dengan Masjid India, Ajuntha mendapatkan sari dan kain mereka terus dari kilang di pinggir-pinggir India, yang menjelaskan barangan mereka yang berkualiti tinggi tetapi dengan harga yang murah. Anda boleh hilang kesedaran masa apabila di Chennai Silks, terletak beberapa langkah dari stesen keretapi. Koleksi besar kain dan pakaian siap pakai mereka berkemungkinan sudah cukup untuk memenuhi misi anda. Dan yang paling penting, tawar-menawar dibenarkan.
Jika anda tidak mempunyai masa untuk ke kedai; Shobi G, sebuah tapak belian dalam talian yang berpangkalan di Johor (www.facebook.com/sarees.shobig) menawarkan penghantaran percuma di dalam Malaysia, ditambah pula dengan polisi pemulangan dan penukaran yang munasabah. Juga disyorkan adalah Indifashion (www.indifashion.my), di mana anda boleh membeli untuk seisi keluarga di kedai dalam talian yang berpangkalan di Delhi ini. Walaupun dicampur penghantaran, barangannya masih mampu dimiliki.
- Ajuntha Textiles 20 Jalan Tengku Kelana, Klang (03 3371 7571)
- Chennai Silks 1 Jalan Istana, Klang (03 3372 7272)
- Gowre Silk Saarees Palace 74 Jalan Tengku Kelana, Klang (03 3373 6505)
- Haniffa 149 Jalan Masjid India, KL (03 2693 8620)
- Lucky Noble 1-16, first & second floor, Plaza City One, Jalan Munshi Abdullah, KL (03 2692 6855/www.seherish.com.my)
- Madras Store 100 Jalan Masjid India, KL (03 2693 0072)
- Mangala Theebam 245 Jalan Tun Sambanthan, Brickfields (03 2274 0360/www.mangalatheebam.com)
- Shivom Traders 14 Jalan Bunus Enam, Jalan Munshi Abdullah, KL (03 2693 1234)
Perhiasan
Shops specialising in Indian/Deepavali décor items are concentrated in Klang and Kedai-kedai yang khusus untuk barang-barang perhiasan India/Deepavali, banyak terdapat di Klang dan Brickfields. Gayathri Silver Brass Cash & Carry terletak di sebuah lorong kecil di luar Little India di Klang, Kedai ini menawarkan pelbagai barangan sembahyang, pelita tanah liat kecil dan serbuk setanggi, dan segala yang anda perlukan untuk sembahyang.
Walaupun kolam adalah penting, ia sangat memakan masa untuk dihasilkan. Pelekat mudah kolam merupakan alternatif yang menyenangkan dan berharga RM20 setiap satu di Sarojani. Sebagai pilihan lain, hubungi pakar dari Dass Kolam, dengan harga yang bermula dari RM800.
Satu lagi tempat yang baik untuk menambah perhiasan dan peralatan sembahyang adalah di Karnival Deepavali. Sebelumnya diadakan di Brickfields, ia telah beralih ke lokasi yang lebih luas di Bukit Jalil. Terdapat beratus-ratus penjaja dari India, Malaysia dan Pakistan menjual perkhidmatan dan barangan mereka. Kunjungi pada hari terakhir untuk mendapatkan diskaun yang lebih baik, tetapi bersedia untuk jumlah pengunjung yang lebih besar.
- Dass Kolam (016 494 7674)
- Deepavali Carnival Car Park A, National Sports Complex, Bukit Jalil, KL (03 2278 5555)
- Gayathri Cash & Carry 1 Jalan Pulasan, off Jalan Tengku Kelana, Klang (03 3373 8181)
- Sarojani 52 Jalan Tengku Kelana, Klang (03 3371 9762)
Mithai (Manisan India)
Di Brickfields, Jesal mengkhususi manisan lembut barfi, rasgulla dan gulab jamun, sementara Sangheetha Café di Masjid Jamek, menjual kaju katli, laddu dan murukku mereka sebagai makanan terlaris. Jika anda kesempitan masa, hubungi perkhidmatan penghantaran mereka tiga hari lebih awal. Kedai konfeksioneri Richman’s Candy di Little India menjual manisan moden yang dibalut dengan cantik. Minta untuk menguji rasa sebelum anda membeli.
- Jesal Sweet House 84 Jalan Sambanthan, Brickfields (03 2274 6801/www.jesalsweethouse.com)
- Richman’s Candy 25 Jalan Tengku Kelana, Klang (012 209 9473)
- Sangheeta Vegetarian Restaurant 40 Palace Hotel Plaza, Jalan Masjid India, KL (03 2694 4233)
Pemanjaan Diri
Dengan cawangan di Brickfields, Masjid India, Little India malahan di Bangsar, Vaani’s merupakan salun kecantikan atasan yang menyediakan pelbagai perkhidmatan kecantikan. Duduk berehat dan dapatkan rawatan rias kuku tangan dan kaki, rambut, ukir kening dan lukisan tatu inai terperinci sebelum Deepavali. Untuk pilihan yang lebih murah, gadis inai diluar kedai Mydin laris menjalankan perniagaan.
- Vaani’s 233A, first floor, Jalan Tun Sambanthan, Brickfields (03 2274 4644/www.vaanis.com).
Tarikh-tarikh Deepavali
- 2017: Khamis, Oktober 19
- 2018: Rabu, November 7
- 2019: Ahad, Oktober 27
- 2020: Sabtu, November 14
Sumber Maklumat:
- https://www.youtube.com/watch?v=-F5tzMBHcFc
- http://www.hindu-blog.com/2008/10/hanuman-and-diwali-worship-and-puja-of.html
- http://www.thehindu.com/news/cities/chennai/Capturing-the-intricacies-of-%E2%80%98kolam%E2%80%99/article14999956.ece
- http://sundaysatsang.blogspot.my/2014/10/importance-of-oil-bath-on-deepavali-and.html
- http://www.indiaparenting.com/indian-culture/70_1574/significance-of-holy-bath-during-diwali.html
- https://www.timeout.com/kuala-lumpur/things-to-do/guide-to-deepavali
Untuk maklumat lanjut:
- Thaipusam – The Festival of Lord Murugan
- Indians in Malaysia
- Hari Raya Aidilfitri
- Pilgrimage Through India & Nepal
- Emperor Ashoka the Great
- Must visit Bodhgaya – The Navel of the World
- Chinese New Year
- Chinese in Malaysia
- Baba and Nyonya
- Traditional Clothes of Malaysia
- Gawai Dayak – The Celebration of Bountiful Harvest
- Wesak Day In Malaysia
- Nine Emperor Gods Festival
Please support us so that we can continue to bring you more Dharma:
If you are in the United States, please note that your offerings and contributions are tax deductible. ~ the tsemrinpoche.com blog team
DISCLAIMER IN RELATION TO COMMENTS OR POSTS GIVEN BY THIRD PARTIES BELOW
Kindly note that the comments or posts given by third parties in the comment section below do not represent the views of the owner and/or host of this Blog, save for responses specifically given by the owner and/or host. All other comments or posts or any other opinions, discussions or views given below under the comment section do not represent our views and should not be regarded as such. We reserve the right to remove any comments/views which we may find offensive but due to the volume of such comments, the non removal and/or non detection of any such comments/views does not mean that we condone the same.
We do hope that the participants of any comments, posts, opinions, discussions or views below will act responsibly and do not engage nor make any statements which are defamatory in nature or which may incite and contempt or ridicule of any party, individual or their beliefs or to contravene any laws.
Please enter your details