Hari Guan Yin
Saya telah lama mengagumi Chenrezig (dalam bahasa Tibet) atau Guan Yin, dalam semua bentuk manifestasinya di dalam Buddhisma, disebabkan oleh apa yang diwakilinya. Semasa saya masih muda, saya banyak bermeditasi tentang belas kasihan dan membaca banyak mantra-mantra, dan boleh saya katakan bahawa Chenrezig merupakan salah satu Buddha yang saya sentiasa doakan dan sembah.
Saya sudah terpesona dengan penjelmaan Guan Yin Cina sebelum saya datang ke Malaysia lagi. Saya masih ingat, semasa saya masih tinggal di Amerika Syarikat, saya mempunyai sebuah lukisan garis Guan Yin dan meletakkannya di atas altar saya. Saya kerap membaca buku-buku tentang Guan Yin oleh John Blofeld. Saya tidak tahu pada ketika itu yang saya akan berakhir di Malaysia, mengasaskan Kechara, dan berkongsi Dharma di kalangan komuniti penganut Buddha di sini. Saya berasa gembira apabila mendapati Guan Yin disembah dengan begitu meluas di kalangan komuniti penganut Buddha Cina, dan semenjak itu telah mempelajari lebih banyak perkara tentang Guan Yin, asal usulnya, sejarahnya, latar belakang penyembahannya dan tentang sambutan Hari Guan Yin.
Oleh kerana itu, saya ingin berkongsi dengan anda semua beberapa maklumat tentang Guan Yin, sambutannya, beberapa buah tokongnya yang terkenal dan bagaimana anda boleh melawatinya. Adalah menjadi hajat saya, bahawa makalah ini akan membawa anda untuk mempersilakan Guan Yin di rumah dan menggunakan doa-doanya yang berkuasa di masa akan datang. Saya berharap dengan makalah ini, anda akan dapat melatih penghayatan yang lebih dalam tentang temasya bersempena Guan Yin, memandangkan ianya disambut oleh komuniti penganut Buddha di Malaysia.
Dewi Belas Ihsan, Guan Yin dianggap oleh kaum Cina sebagai dewi anutan Buddha dan juga Tao. Dalam tradisi Buddhis Mahayana, dia dihormati sebagai seorang bodhisatva yang mewakili keperimanusiaan Buddha. Dalam keseluruhan bentuk penjelmaannya, Guan Yin telah dianggap sebagai bodhisatva paling terkenal di negara-negara utara Asia yang mengamalkan Buddhisma Mahayana.
Penyembahan Guan Yin sangat terkenal dan berkesan sehingga dia turut dibawa ke dalam amalan Tao, di mana dia dianggap sebagai kekal abadi dan sehingga kini, merupakan salah satu dewa-dewi Cina yang paling terkenal. Dia kerap kali digambarkan sebagai seorang wanita yang diselubungi jubah putih, dan rupanya sering digunakan dalam lukisan-lukisan skrol tradisional dan patung-patung tembikar putih. Dewi Guan Yin telah diterima secara umum oleh penganut Buddha Cina sebagai berasal dari bodhisatva lelaki India, Avalokiteshvara yang penyembahannya dibawa masuk ke China melalui Laluan Sutera semasa penghantaran Buddhisma ke China. Oleh sebab itu, Guan Yin kadang kala digambarkan sebagai kedua-dua lelaki dan juga wanita, yang melambangkan keunggulannya menjangkaui jantina, label dan swaharga kendiri ‘Saya’.
Lotus Sutra
Rekod terawal Avalokiteshvara atau Guan Yin telah disebut dalam Lotus Sutra, yang dikenali sebagai Sutra Saddharma Pundarika dalam bahasa Sanskrit. Guan Yin atau Avalokiteshvara telah disebut dalam bab ke-25 dalam naskah Sanskrit kuno ini. Dalam bab ini, nama sucinya dijelaskan sebagai ‘Dia Yang Mendengar Laungan Dunia’. Ini mencerminkan terjemahan langsung namanya, Guan Shi Yin, dalam bahasa Cina.
Bab ini memuja Avalokiteshvara sebagai salah satu makhluk yang tertinggi dalam himpunan kedewaan Buddha. Di dalam bab ini, dikatakan, “Jika seseorang itu menyembah Avalokiteshvara dengan kewarakan yang sebenar untuk sedetik, dia akan menjana lebih banyak rahmat daripada seseorang yang menyembah dengan pelbagai persembahan kepada seberapa ramai dewa-dewi yang menyamai jumlah butiran pasir di pesisiran Sungai Ganges untuk seumur hidup”. Berdasarkan naskah ini, Avalokiteshvara telah menjadi salah satu daripada kedewaan yang paling penting dalam Buddhisma Mahayana.
Menariknya, Lotus Sutra juga mengandungi penerangan tentang kebolehan Avalokiteshvara untuk mengambil pelbagai penjelmaan semula untuk membawa manfaat kepada makhluk-makhluk yang dapat merasa. Di dalam naskah tersebut, telah disebut bahawa Avalokiteshvara mempunyai kebolehan untuk bermanifestasi ke dalam bentuk dewa-dewi keduniaan, termasuklah Indra dan Brahma, Raja-raja maha kuasa atau Chakravartin, Pelindung-pelindung Dharma seperti Vaisravana, sebarang bentuk Buddha, sebarang jantina, umur, bentuk manusia atau bukan manusia, untuk mengajarkan Dharma kepada mahluk-makhluk yang dapat merasa.
Terdapat banyak tradisi di China dan negara-negara Timur Asia yang lain, yang telah menambah banyak ciri-ciri dan lagenda tersendiri kepada Avalokiteshvara dan Guan Yin. Dai negara China, Guan Yin asalnya digambarkan sebagai seorang bodhisatva lelaki dalam kesenian awal China, dan kerana itu digambarkan dengan pakaian yang mendedahkan dada, dan kadang kala digambarkan dengan misai nipis. Kesenian China ini kemudiannya, menggambarkan Guan Yin dalam bentuk tubuh wanita. Oleh kerana penjelasan dalam Lotus Sutra dan yang sebagainya, sesetengah pengamal mempercayai bahawa Guan Yin adalah androgini, atau mungkin tanpa jantina.
Lagenda Miao Shan
Di negara China, Guan Yin pada asalnya disembah dalam bentuk tubuh lelaki tetapi akhirnya telah disembah di dalam bentuk tubuh wanita sebagai Dewi Belas Ihsan. Perubahan kepada bentuk dewi wanita ini mengambil tempat sewaktu Dinasti Song Utara (tahun 960-1126 Masihi) dan dikaitkan dengan kemunculan lagenda Miao Shan.
Dari segi sejarahnya, kultus Miao Shan mula-mula wujud di Xiang Shan Si (Biara Gunung Harum) pada tahun 110 Masihi, melalui sebuah tulisan oleh Jiang Zhi Qi (tahun 1031-1104 Masihi). Biara Gunung Harum telah terkenal dengan patung Guan Yin yang mempunyai seribu tangan dan seribu mata yang tersergam indah, yang turut dikenali sebagai Dia Yang Maha Pemurah (Da Bei). Dalam tulisan Jiang, dia mengenalpasti Biara Gunung Harum sebagai lokasi manifestasi Guan Yin, di mana dia menunjukkan dirinya dalam bentuk Maha PemurahNya, dengan seribu tangan dan mata, kemas menggabungkan lagenda Miao Shan dengan imej Guan Yin yang bersemadi di biara tersebut. Dia kemudian mendakwa, peninggalan Miao Shan telah disemadikan di dalam sebuah stupa, lantas memperkenalkan Biara Gunung Harum sebagai satu destinasi terkenal untuk jemaah penziarah.
Menurut satu catatan bertulis dari zaman tersebut oleh seorang sarjana bernama Zu Xiu, yang telah menulis sebuah babad tentang Buddhisma pada tahun 1164 Masihi, Guan Yin dikatakan telah dilahirkan semula sebagai Puteri Miao Shan. Ayahandanya merupakan seorang raja yang bernama Miao Chuang Yen, sementara bondanya bernama Pao Ying; yang telah melahirkan tiga orang puteri, yang sulung, Miao Yen; yang tengah, Miao Yin; dan yang bongsu, Miao Shan.
Sewaktu Miao Shan berada dalam kandungan, permaisuri telah bermimpi bahawa baginda telah menelan sebutir bulan. Apabila tiba masa untuk melahirkannya, bumi bergegar, dan wangian harum dan bunga-bungaan kayangan jatuh menghujani dari alam cakerawala dari atas. Miao Shan dilahirkan bersih, seolah-olah telah disirami oleh makhluk suci cakerawala. Tubuhnya membawa tanda-tanda suci yang mulia dan agung. Rakyat berasa kagum dan sesetengahnya mengatakan ini merupakan tanda-tanda kelahiran semula makhluk suci. Walaupun kedua ayahanda dan bondanya kagum dengan tanda-tanda ini, mereka mempunyai perancangan yang berbeza untuknya.
Bodhisatva ini membesar menjadi seorang gadis yang mulia, bersederhana dan merendah diri di dalam istana. Dia lebih cenderung kepada ajaran-ajaran Buddha, malah telah membawa dayang-dayangnya kepada anutan agama Buddha. Ayahandanya, seorang raja yang zalim, merancang untuk mengahwinkannya dengan seorang lelaki kaya raya untuk memujuknya dari kecenderungan spiritualnya itu, tetapi apabila disampaikan titah untuknya mengahwini lelaki kaya itu, dia berkata bahawa dia hanya akan menuruti perintah ayahandanya itu sekiranya perkahwinan itu dapat meringankan tiga musibah.
Ingin tahu, ayahandanya bertanyakan apakah tiga musibah tersebut. Dia menerangkan bahawa musibah yang pertama adalah penderitaan usia tua sejagat. Musibah kedua adalah penderitaan jatuh sakit. Musibah ketiga penderitaan yang tidak dapat dielakkan iaitu kematian itu sendiri. Dia menyatakan bahawa jika perkahwinannya itu tidak dapat mengurangkan sebarang dari tiga musibah tersebut, dia lebih rela menjalani hidup dalam pengasingan dan membuat amalan spiritual.
Murka dengan syarat-syaratnya, raja menitahkan puterinya itu ditempatkan dibawah hukuman kerja-kerja berat di taman istana, dan santapannya dicatu untuk mematahkannya. Walaupun begitu, dia tidak mengalah. Bonda dan puteri kekandanya cuba untuk merayu supaya dia mempertimbangkannya semula, tapi tidak berhasil. Setelah itu, bonda dan puteri kekandanya telah merayu kepada ayahandanya, dan akhirnya raja mengalah dan membenarkan dia untuk memasuki Biara Pipit Putih, baginda juga telah menitahkan para biarawati untuk memastikan bahawa Miao Shan diberikan kerja-kerja yang paling sukar.
Biarawati yang ketakutan telah memberikannya pelbagai kerja – mengangkut kayu api dan air, bekerja dengan lesung dan alu di dapur dan menjaga kebun sayur biara. Di bawah jagaannya, hasil sayur-sayuran melimpah ruah walaupun di musim sejuk, dan sebuah mata air dengan ajaib muncul betul-betul bersebelahan dengan dapur. Apabila raja mendengar perkhabaran tentang mukjizat kebun sayur yang tumbuh segar dan telaga mata air tersebut, baginda lantas murka durjana. Baginda menitahkan agar anggota tentera untuk membawa pulang kepalanya dan untuk membunuh semua para biarawati.
Apabila anggota tentera sampai di tokong, kabus tiba-tiba muncul menyelubungi seluruh tokong tersebut. Apabila kabus itu lenyap, anggota tentera tersebut telah mencari ke seluruh pelusuk, namun Miao Shan tidak dapat dijumpai. Telah dikatakan bahawa dia telah disembunyikan oleh roh baik di gunung yang berhampiran, dan roh itu telah memindahkannya beberapa kali sebelum akhirnya dia mendapati dirinya berada di Gunung Harum, di mana dia tinggal, hidup dengan bergantung kepada buah-buahan dari pohon-pohon disekitar dan minum dari sebatang sungai.
Masa berlalu, dan akhirnya raja itu jatuh sakit mudarat hingga tidak berupaya lagi beradu mahupun bersantap. Baginda berada dalam kesakitan yang amat, tubuhnya dipenuhi kudis, dan tabib istana juga tidak mampu menyembuhkannya. Seorang Sami muncul menawarkan untuk menyembuhkan raja, tetapi kaedahnya memerlukan sepasang tangan dan mata dari seseorang yang bebas dari amarah. Raja mengeluh duka kerana merasakan ini satu tugas yang mustahil. Sami itu kemudiannya memberitahu kepada raja, “Di atas Gunung Harum, di sebelah barat daya jajahan Tuanku, ada seorang bodhisatva yang menjalankan amalan spiritual. Jika Tuanku titahkan utusan kepadanya, pasti dia akan menurut perintah.”
Raja segera menitahkan sida-sida untuk membuat pengaturan yang diperlukan. Apabila rombongan itu tiba dan menyampaikan hajat kepada Miao Shan, dia berkata, “Ayahandaku telah menghina Tiga Mustika, dan dianiaya dan ditindasnya Sangha saat dia membunuh para biarawati yang tidak bersalah. Dia ditimpa karma negatifnya di waktu ini.” Kemudian dia mencungkil kedua mata dan memutuskan kedua tangannya. Dia menyerahkannya kepada rombongan tersebut dan meminta kepada utusan untuk menyampaikan gesaanya kepada baginda Raja untuk berubah kepada kebaikan dan tidak lagi terpedaya dengan ajaran-ajaran palsu.
Apabila kedua-dua barang itu sampai ke istana, Sami itu segera menggunakannya untuk dijadikan ubat. Raja mengambil campuran itu dan dengan serta merta sembuh. Dia dengan murah hati menganugerahkan ganjaran kepada Sami-tabib itu. Namun Sami itu menolak dan memberitahunya, “Kenapa Tuanku berterima kasih kepadaku? Tuanku seharusnya berterima kasih kepada dia yang memberikanmu sepasang tangan dan mata untuk menyembuhkanmu”. Dengan tiba-tiba Sami itu ghaib dan raja itu sedar bahawa itu adalah campur tangan tuhan. Dia menitahkan untuk kereta pedatinya dan berangkat bersama-sama dengan permaisuri dan dua orang puterinya ke Gunung Harum untuk menyampaikan secara peribadi rasa terhutang budinya kepada bodhisatva itu.
Setibanya mereka di sana dan belum sempat pun mereka berkata-kata, permaisuri sudah mengenali itu adalah puterinya, Miao Shan. Mereka berdua tersedu dengan tangisan. Miao Shan berkata, “Adakah bondaku mengingati Miao Shan? Sedar akan kasih ayahandaku, aku telah membalasnya dengan sepasang tangan dan mataku”. Sebaik sahaja mendengar kata-kata ini, ayahanda dan bondanya mendakapnya dan mengangis. Saat permaisuri hendak menyapu air mata Miao Shan dengan lidahnya, satu kejadian mukjizat berlaku di hadapan mata mereka berdua. Awan dari kayangan mengelilingi mereka, muzik ketuhanan dari pemuzik cakerawala dapat didengari, bumi bergoncang, dan bunga-bungaan jatuh mengujani dari alam cakerawala di atas.
Miao Shan bertukar menjadi Guan Yin bertangan seribu dan bermata seribu, dan dia terapung-apung penuh agung di udara. Berpuluh ribu orang pengiring muncul tiba-tiba, menyanyikan lagu memuji belas kasihnya, dan lagu mereka menggegarkan seluruh gunung dan lembah. Tiba-tiba, bodhisatva itu bertukar kembali kepada Miao Shan saat dia meninggalkan dunia. Telah dikatakan bahawa raja, permaisuri dan kedua puteri kekanda menyalakan unggun api pengkebumian, mengabdikan peninggalan suci yang muncul, dan membina sebuah stupa di atas gunung yang sama untuk menempatkan peninggalan tersebut.
Ikonografi
Guan Yin kebiasaanya telah digambarkan dalam bentuk tubuh lelaki dalam kesenian keagamaan China sebelum Dinasti Song (abad ke-10 hingga ke-13 Masihi). Pewakilan Guan Yin sebagai kedua-dua jantina pada waktu ini dan selepasnya telah disebabkan oleh penjelasan yang terkandung di dalam Lotus Sutra, di mana Guan Yin boleh menjelma sebagai lelaki atau perempuan, bertujuan untuk melegakan penderitaan makhluk-makhluk yang dapat merasa, di samping kebolehan unik untuk mengurniakan anak-anak kepada mereka yang mandul.
Ini menunjukkan contoh belas kasih dan kebaikan seorang bodhisatva kepada rakyat China kuno. Dia menjadi terkenal sebagai ibu dewi dan penaung ibu-ibu mengandung dan para pelaut, yang akhirnya menyebabkannya lebih popular digambarkan dalam bentuk tubuh wanita seperti yang kita kenal pada hari ini. Kini, bodhisatva Guan Yin sentiasa digambarkan sebagai seorang pelindung, bersusuk tubuh wanita yang berjubah, sama seperti Avalokiteshvara Padmapani yang bertangan dua dari India, yang lemah lembut atau dikenali sebagai ‘Pembawa Bunga Teratai’ (Holder of the Lotus).
Walau bagaimanapun, menjelang penghujung Dinasti Song, masih wujud gambaran Guan Yin sebagai pemuda lelaki, yang duduk dengan lemah lembut, berpakaian jubah dari gaya Song Utara. Dia selalunya digambarkan tunduk melihat kebawah, yang melambangkannya sentiasa melihat berjaga-jaga terhadap penderitaan makhluk-makhluk yang dapat merasa. Gambaran ini kemudiannya telah berubah kepada susuk tubuh wanita memakai jubah putih berjela, dihiasi dengan barang kemas yang halus buatannya untuk mewakili pencapaian spiritualnya. Dia memegang sebuah jambangan tembikar yang mengandungi air suci di tangan kirinya, dan tangan kanannya memegang sebatang ranting pohon willow. Pohon weeping willow menjadi perlambangan belas kasihan bagi masyarakat Cina, kerana walaupun dahan-dahan pohon willow lembut, namun ia masih boleh menahan ribut kencang yang kerap menumbangkan pokok-pokok lain yang lebih keras dan tebal. Ranting willow juga digambarkan tergantung dari mulut jambangan.
Terdapat sebuah imej Buddha Amitabha yang diletakkan di mercu kepala Guan Yin, melambangkan pernghormatan kepada panduan spiritual. Dia selalunya digambarkan berseorangan, kadang kala menaiki seekor naga sambil menyeberangi lautan di Selatan China, dan kadang kala bertemankan seekor burung nuri putih.
Di dalam ‘Skrol Suci Burung Nuri’ (Precious Scroll of the Parrot), diceritakan sebuah kisah tentang seekor burung nuri yang menjadi pengikut Guan Yin. Sewaktu Dinasti Tang, seekor burung nuri yang kecil, dikatakan telah keluar mencari makanan untuk ibunya, namun telah ditangkap oleh seorang pemburu. Burung nuri kerap menjadi haiwan peliharaan sewaktu Dinasi Tang. Setelah ia berjaya melarikan diri, burung itu menjumpai ibunya telah mati. Burung nuri itu berkabung dan mengebumikan ibunya. Kematian ibunya telah memberi ilham kepada burung nuri itu untuk menjadi pengikut Guan Yin. Dalam gambaran popular, burung nuri itu biasanya berwarna putih dan berdiri di sebelah kanan Guan Yin, sambil memegang sebutir mutiara atau tasbih sembahyang diparuhnya. Sejak itu, burung nuri telah menjadi lambang untuk ketaatan kepada ibubapa.
Kuan Yin Bertangan Seribu
Satu lagi bentuk Guan Yin yang terkenal adalah Guan Yin bertangan seribu, dan asal usulnya boleh dikesan kepada Karandavyuha Sutra. Di dalam sutra ini, Avalokiteshvara digelar sebagai ‘Dia yang bertangan seribu dan bermata seribu’ (The One with a Thousand Arms and a Thousand Eyes), malah ada kalanya dikatakan sebagai lebih tinggi dari seluruh Buddha dan dewa dewi dalam dewata India.
Sebuah lagi lagenda Buddha terkenal, seperti yang diriwayatkan di dalam ‘Kisah Lengkap Guan Yin dan Lautan Selatan’ (Complete Tale of Guan Yin and the Southern Seas), menyatakan Guan Yin bersumpah untuk tidak berhenti rehat sehingga dia telah membebaskan semua makhluk-makhluk yang merasa dari samsara, atau kitaran kematian dan kelahiran semula, dalam Sanskrit. Selepas bertenggang untuk memahami kesengsaraan makhluk-makhluk yang merasa, kepalanya telah terpecah kepada sebelas bahagian. Buddha Amitabha dikatakan telah muncul saat itu dan menyembuhkannya dengan menukarkan setiap bahagian pecahan kepada sebuah wajah yang yang mendengar laungan kesengsaraan makhluk-makhluk yang merasa. Apabila terdengarnya laungan-laungan tersebut, Guan Yin telah mencuba untuk menghulurkan tangannya kepada makhluk-makhluk yang menderita ini, tetapi mendapati tangannya telah terpecah kepada seribu bahagian juga. Buddha Amitabha muncul sekali lagi, dan memberikannya seribu tangan untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang sedang menderita.
Guan Yin dan Pengikutnya
Guan Yin juga sering digambarkan diapit oleh dua orang kanak-kanak ataupun dua orang pahlawan. Kedua-dua kanak-kanak ini adalah pengikutnya; yang perempuan dikenali sebagai Long Nü dan yang lelaki dipanggil Shan Cai. Shan Cai merupakan nama Cina bagi seorang budak India yang kurang upaya, bernama Sudhana. Dia telah mengembara ke Potala dengan tujuan untuk menuntut dibawah Guan Yin, yang telah mengujinya dengan menyulap tiga orang penyamun bersenjatakan pedang, yang datang menyerang bodhisatva itu. Kejadian kejar-mengejar itu berakhir dengan bodhisatva yang melompat terjun dari tebing; dan budak lelaki itu, tanpa berfikir panjang, lari terincut-incut turun dari tebing untuk menyelamatkan bodhisatva tersebut. Mujurlah, dia telah diselamatkan oleh Guan Yin, yang telah menyembuhkan kakinya dan turut mengembalikan rupanya. Guan Yin kemudiannya mengajarnya keseluruhan Dharma. Di dalam kisah yang lain, seorang anak perempuan kepada raja naga, telah mengambil bentuk seekor ikan kap, dan telah tersangkut di dalam jaring nelayan. Sedang dia bergelut di dalam jaring tersebut dan bakal dijual oleh nelayan itu, dia telah melepaskan laungan ke kayangan dan Guan Yin telah mendengar permintaan pertolongannya. Guan Yin telah menghantar Shan Cai untuk bertawar-tawaran untuk melepaskan ikan tersebut, tetapi telah kalah dalam bidaan oleh orang lain yang menganggap daging ikan aneh ini dapat memberikan mereka keabadian.
Guan Yin campur tangan dengan laungan suaranya, dan berkata “Satu-satu nyawa itu harus dimiliki oleh orang yang cuba untuk menyelamatkannya dan bukan orang yang cuba mengambilnya”. Ketakutan dan berasa malu dengan perlakuan hina mereka, ikan itu telah diserahkan kepada Shan Cai untuk dibawa pulang kepada Guan Yin. Guan Yin melepaskan ikan itu ke dalam laut dan anak raja naga itu mengambil bentuk asalnya dan telah disatukan dengan bapanya.
Sebagai tanda terhutang budi, raja naga itu telah menghantar cucu perempuannya, Long Nü, untuk menghadiahkan mutiara cahaya kepada Guan Yin; namun, merasa sangat terharu dengan belah kasihannya, telah menawarkan dirinya untuk menjadi pengikutnya. Oleh itu, kedua-dua Shan Cai dan Long Nü seringkali digambarkan sebagai pengikut Guan Yin. Cerita ini juga menjadi inspirasi kepada gambaran Guan Yin Fujian sebagai seorang anak gadis berpakaian dari zaman Tang dan membawa sebakul ikan.
Satu lagi bentuk Guan Yin yang popular, muncul sepanjang kawasan pesisiran Selatan China dan telah disembah dikalangan pelaut dan nelayan. Bentuk Guan Yin ini, bersama dengan yang lain-lain, yang telah dikatalogkan di dalam ensiklopedia China lewat abad ke-16, juga turut digambarkan dalam lukisan garis dalam novel ‘Bunga Teratai Emas’ (Golden Lotus) dari zaman yang sama.
Di dalam gambaran lain yang melibatkan dua orang pahlawan, salah seorang pahlawan yang berdiri dengan Guan Yin adalah jeneral Guan Yu dari penghujung Dinasti Han, yang telah dikenali sebagai Qie Lan atau Bodhisatva Sangharama. Dia turut dipaparkan dalam epik klasik China, ‘Catatan dari Kerajaan yang Tiga’ (Records of the Three Kingdoms), dan diketahui telah bersumpah dihadapan bapa Zen, Zhi Yi (pengasas kepada sekolah Tien Tai) untuk melindungi ajaran-ajaran Buddha dan juga biara-biaranya.
Seorang lagi pahlawan yang menemani Guan Yin ialah Wei Tuo atau Bodhisatva Skanda. Wei Tuo dipercayai adalah penjelmaan semula Bodhisatva Vajrapani, dan dipercayai merupakan salah seorang daripada jeneral yang melindungi Miao Shan dalam melarikan diri dari istana dan ayahandanya yang kejam. Menurut satu keterangan, kedua-dua jeneral itu dan Miao Shan telah mati dibunuh di tangan ayahanda Miao Shan yang kejam dan dia telah menjadi seorang bodhisatva untuk terus melindungi Guan Yin.
Guan Yin sebagai Pengiring kepada Buddha Amitabha
Di dalam tradisi China, Guan Yin juga merupakan salah satu daripada bentuk bodhisatva yang sering digambarkan disamping Buddha Amitabha selain daripada Bodhisatva Mahastamaprapta. Triniti ini dikenali sebagai ‘Tiga Keramat Tanah Suci Barat’ (Three Saints of the Western Pure Land), dan mereka digambarkan sebagai watak utama di tanah suci Sukhavati. Selain dari itu, dia juga turut digambarkan disamping bodhisatva-bodhisatva dan buddha-buddha yang lain; kadangkala diapit oleh kedua-dua pahlawan yang telah dinyatakan sebelumnya, yang menunjukkan diri sebagai bodhisatva untuk melindungi tokong dan kepercayaan ini.
Hari Kuan Yin
Secara umumnya, terdapat tiga sambutan yang dikaitkan dengan Guan Yin: hari kelahirannya, hari pencerahannya, dan hari dia meninggalkan dunia. Hari kelahirannya disambut pada hari ke-19 dalam bulan qamari kedua, hari pencerahannya disambut pada hari ke-19 dalam bulan qamari keenam, dan hari dia meninggalkan dunia disambut pada hari ke-19 dalam bulan qamari yang kesembilan.
Pada hari kelahiran Guan Yin, para penganut mengamati diet vegetarian untuk mengingati belas kasihan dan kebaikannya. Mereka akan melawat tokong-tokong atau tempat-tempat suci yang utama untuk mempersembahkan colok, bunga-bungaan dan makanan – kebiasaannya buah-buahan, kek perayaan khas atau makanan vegetarian. Satu lagi persembahan yang popular adalah dengan menambahkan minyak ke dalam lampu minyak di tempat penyembahan Guan Yin, agar apinya akan terus menyala. Para penganut yang berhajat untuk mendapat anak, akan bersembahyang, dan memberi persembahan dan colok kepada Guan Yin, dan apabila mereka memperoleh anak, anak itu akan diletakkan di kaki Guan Yin agar dijadikan anak angkatnya secara spiritual, kerana dipercayai dia akan merahmati anak ini dengan umur yang berpanjangan.
Sementara bagi mereka yang bersumpah biarawan, mereka menyambut hari ini dengan membacakan bab ‘Pintu Sejagat’ (Universal Door) dari Lotus Sutra. Bab ini merupakan puji-pujian yang panjang lebar tentang kebaikan dan belas kasihan bodhisatva itu yang tiada sempadan, tentang keupayaannya untuk membebaskan makhluk-makhluk yang merasa dari tujuh jenis musibah, keupayaannya untuk menunaikan dua jenis permintaan tersebut, dan keupayaannya untuk merubah bentuk dirinya kepada 32 bentuk penjelmaan.
Tokong-tokong Guan Yin di Malaysia
Selepas agama Islam, agama Buddha merupakan agama kedua terbesar di Malaysia, dengan 19.2% daripada penduduk Malaysia mengenalpasti diri mereka sebagai penganut Buddha. Walau bagaimanapun, sesetengah anggaran meletakkan jumlah angka itu lebih tinggi kepada 21.6%, apabila angka itu digabungkan dengan agama-agama Cina yang lain. Agama Buddha kebanyakannya diamalkan oleh masyarakat Cina tempatan di Malaysia, serta juga oleh suku kaum yang lainnya, seperti masyarakat India Malaysia, dan juga rakyat Malaysia dari keturunan Siam, Burma dan Sri Lanka.
Sebahagian besar penganut Buddha di Malaysia merupakan penganut besar Guan Yin dan telah menubuhkan tokong-tokong Guan Yin yang hebat di seluruh Malaysia. Berikut merupakan beberapa contoh tokong-tokong Guan Yin yang terdapat di Malaysia.
Tokong Kuan Yin di Kuala Lumpur
Tokong ini telah dibina pada tahun 1888 oleh masyarakat Cina dan ditujukan kepada Guan Yin. Seni bina tokong ini jelas berpengaruh Cina dengan sentuhan gaya Baroque, dan walaupun baru menjalani pengubahsuaian, masih banyak ciri-ciri lamanya dikekalkan. Di dalam dewan sembahyang utamanya, berdiri sebuah patung Buddha Shakyamuni di atas tempat pemujaan utama, dengan patung Guan Yin Lautan Selatan di kanannya, dan Guan Yin Bertangan Seribu di kirinya. Patung-patung lain di atas tempat pemujaan adalah Kshitigarbha, juga dikenali sebagai ‘Bodhisatva Khazanah Dunia’ (Earth-store Boddhisatva), dan Di Zang. Waktu pembukaan adalah di antara jam 7 pagi hingga 5 petang, setiap hari.
Menurut sejarah, tokong ini bermula sebagai tempat ibadat Masyarakat Cina Hokkien. Cerita menyatakan tentang perkuburan Cina yang dibina berhampiran dengan kawasan tanah yang kini dikenali sebagai Stadium Merdeka, dan tokong ini menawarkan tempat ketenangan untuk mereka yang menziarahi tanah perkuburan. Sekitar tahun 1920, pemerintah British telah mengisytiharkan tokong ini sebagai sebuah rumah ibadat dan menyerahkan hak kepada Persatuan Hokkien Kuala Lumpur dan Selangor. Malangnya, ia telah mengalami kerosakan akibat dua kebakaran yang berlaku pada tahun 1963 dan tahun 1989, namun telah diubahsuai dan dipulihara dalam kedua-dua kejadian.
Menuju ke Tokong Kuan Yin
Tokong ini terletak bertentangan dengan Bulatan Merdeka dan berada bersebelahan dengan Stadium Merdeka, di penghujung Jalan Petaling. Orang ramai boleh menuju ke Jalan Petaling, meletakkan kenderaan di situ dan berjalan kaki ke tokong tersebut. Stesen Monorail Maharajalela juga terletak sangat berhampiran untuk kemudahan, dan menawarkan capaian yang lebih mudah ke tokong ini.
Tokong Kuan Yin
Alamat:
Jalan Maharajalela
50480 Kuala Lumpur
Malaysia
Tempat-tempat penginapan berhampiran Tokong Kuan Yin
- Cosmic Boutique Hotel
Alamat:
No. 21 & 23
Jalan Maharajalela
Chinatown
50150 Kuala Lumpur
Malaysia
No.Telefon: +60 3 9226 3339 - OYO Rooms Maharajalela Monorail Station
Alamat:
21 Jalan Maharajalela
Chinatown
50150 Kuala-Lumpur
Malaysia
No.Telefon: +60 17 7584 3417 - Grid 9 Hotel
Alamat:
9 Jalan Maharajalela
Chinatown
50150 Kuala Lumpur
Malaysia
No.Telefon: +60 3 9226 2629
Tokong Kun Yam Thong, Kuala Lumpur
Tokong Kun Yam Thong juga dikenali sebagai Biara Alam Dharma Kebijaksanaan Guan Yin (Dharma Realm Guan Yin Sagely Monastery). Tokong ini dibina pada tahun 1880 dan asalnya dinamakan Tokong Deng Bi An sehinggalah ia diambil alih oleh Persatuan Budhhis Alam Dharma (Dharma Realm Buddhist Association) pada tahun 1993, dan kemudian telah diubahsuai dan dibuka semula pada tahun 2006. Menara-menara bangunan pejabat bertingkat tinggi, hotel-hotel dan kompleks membeli belah mengelilingi tokong ini, menjadikannya sebuah oasis yang tenang di tengah-tengah kesibukan bandar.
Dewan sembahyang utamanya, dipanggil Dewan Besar Bertatahkan Permata, mempunyai sebuah tempat pemujaan dengan tiga patung besar emas Buddha, setiap satu seberat satu tan. Ia adalah patung Buddha Shakyamuni, Buddha Perubatan, dan Amitabha Buddha. Selain dari tempat pemujaan itu, terdapat sebuah dewan makan yang terkenal, di bahagian belakang tokong ini yang menghidangkan makanan vegetarian yang enak dan menyihatkan dengan harga yang sangat rendah. Tokong ini juga mempunyai sebuah perpustakaan dan kedai buku untuk mereka yang ingin mencari sedikit ilmu.
Menuju ke Kun Yam Thong Temple
Tokong ini terletak di Jalan Ampang, betul-betul di pusat Kuala Lumpur. Ia berada di antara Menara Citibank dan kompleks membeli belah KLCC, tidak jauh dari bangunan MCA. Anda juga boleh menuju ke tokong ini melalui stesen LRT Ampang Park.
Kun Yam Thong Temple
Alamat:
Menara Citibank
165 Jalan Ampang
50450 Kuala Lumpur
Malaysia
No.Telefon: +60 3 2164 8055
Tempat-tempat penginapan berhampiran Kun Yam Thong Temple
- Corus Hotel Kuala Lumpur
Alamat:
Jalan Ampang
Hampshire Park
50450 Kuala Lumpur
Malaysia
No.Telefon: +60 3 2161 8888 - Le Apple Boutique Hotel (KLCC)
Alamat:
160 Jalan Ampang
Kampung Baru
55000 Kuala Lumpur
Malaysia
No.Telefon: +60 3 2179 3777 - GTower Hotel
Alamat:
199 Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia
No.Telefon: +60 3 2168 1919
Tokong Kuan Yin Teng, Pulau Pinang
Tokong Kuan Yin Teng, atau Tokong Kong Hock Keong, merupakan salah satu tokong Cina tertua di Georgetown, Pulau Pinang, dan menggunakan Guan Yin sebagai kedewaan utamanya. Ia telah dibina pada tahun 1728 dengan belanja sebanyak 4,000 dolar Sepanyol, satu jumlah yang besar pada ketika itu. Ia merupakan salah satu daripada bangunan Cina yang sangat indah di Utara Malaya pada ketika itu, memandangkan kebanyakan tokong-tokong Cina yang lain di George Town, masih belum dibina oleh suku lain, untuk menandinginya.
Terdapat beberapa kisah mengenai Tokong Kuan Yin Teng ini, namun hanya sedikit sahaja yang telah didokumentasikan dalam rekod-rekod rasmi. Sebagai contoh, sewaktu Perang Dunia Kedua, tentera Jepun telah menjatuhkan sebutir bom di atas tokong ini bertujuan untuk memusnahkannya. Mungkin semata-mata nasib baik atau mungkin campur tangan tuhan, bom itu sebaliknya mendarat di tengah halaman, dan tokong itu terselamat tanpa kerosakan. Kisah lain menceritakan begitu ramai orang-orang Pulau Pinang yang mencari perlindungan di Tokong Kuan Yin Teng ini sewaktu perang yang sama.
Menuju ke Kuan Yin Teng Temple
Tokong ini terletak di Georgetown, di persimpangan Jalan China dan Jalan Kapitan Keling (sebelumnya dikenali sebagai Jalan Pitt).
Tokong Kuan Yin Teng
Alamat:
Jalan Masjid Kapitan Keling
George Town
10200 Penang
Malaysia
Tempat-tempat penginapan berhampiran Kuan Yin Teng Temple
- Palm Mansion Boutique Suites
Alamat:
76 – 88 China Street
Georgetown
10200 Penang
Malaysia
No.Telefon: +60 4 261 3609 - Red Inn Court
Alamat:
35 B&C Jalan Mesjid Kapitan Keling
George Town
10200 Penang
Malaysia
No.Telefon: +60 4 261 1144 - Queen’s Hostel
Alamat:
20 & 22 Queen Street
Georgetown
10200 Penang
Malaysia
No. Telefon: +60 13 489 6218
Tokong Kek Lok Si, Pulau Pinang
Tokong Kek Lok Si, (juga dikenali di dalam bahasa Hokkien Pulau Pinang sebagai ‘Tokong Kebahagiaan Agung’ (Temple of Supreme Bliss) atau Tokong Sukhavati, dan disebut dalam bahasa Cina Mandarin sebagai Ji Le Si) merupakan sebuah tokong Buddhis Mahayana yang terletak di Air Itam, Pulau Pinang. Kompleks tokong ini menghadap ke arah laut, memberikannya sebuah pemandangan yang sangat menakjubkan, dan merupakan salah satu tokong Buddhis yang paling terkenal di Malaysia. Ia juga dikatakan sebagai tokong Buddhis terbesar di Malaysia.
Ia merupakan satu kawasan ziarah penting untuk penganut Buddha dari rantau ini, memandangkan pelawat-pelawat datang dari Hong Kong, Filipina, Singapura dan negara-negara Asia Tenggara yang lain. Kompleks tokong ini dibina dalam jangkamasa dari tahun 1890 hingga tahun 1930, dan merupakan inisiatif inspirasi oleh Beow Lean, ketua biarawan tokong ini. Ciri yang paling menarik tokong ini adalah bangunan Pagoda Rama VI setinggi tujuh tingkat, juga dikenali sebagai ‘Pagoda Sepuluh Ribu Buddha’ , dengan sejumlah 10,000 patung-patung Buddha yang diperbuat daripada alabaster dan gangsa, dan patung Guan Yin yang diperbuat dari gangsa setinggi 30 meter (99 kaki).
Menuju ke Kek Lok Si Temple
Di penjuru Jalan Air Itam dan Jalan Pasar di Georgetown, anda akan dapat melihat sebuah papan tanda besar menunjuk ke arah tokong. Hanya ikuti papan tanda itu melalui Jalan Pasar, dan mengambil pusingan ke kiri apabila sampai ke sebuah persimpangan. Tidak jauh dari situ, anda boleh milihat sebuah laluan kecil di sebelah kiri, yang akan membawa kepada sebuah anak tangga, dan kemudiannya membawa ke laluan pejalan kaki utama. Anda kemudian perlu berjalan menaiki beberapa pasang anak tangga dan koridor-koridor yang dikelilingi dengan kedai-kedai cenderamata.
Tokong Kek Lok Si
Alamat:
86 S Jalan Kampung Pisang
Ayer Itam
11500 Penang
Malaysia
Laman web: http://kekloksitemple.com
Emel: email@kekloksitemple.com
No.Telefon: +60 4 828 3317
Tempat-tempat penginapan Kek Lok Si Temple
- Vstay Guesthouse
Alamat:
134-K 1st Floor Jalan Paya Terubong
Ayer Itam
11600 Penang
Malaysia
No.Telefon: +60 16 422 6879 - Fang Zu Ming Concept Guesthouse
Alamat:
1228 N3 & P3 Jalan Paya Terubong
Air Itam
Penang
11060 Malaysia
Telefon: +60 19 477 7661 - Fastbook Hostel
Alamat:
1228L-3 Jalan Paya Terubong
Ayer Itam
11060 Penang
Malaysia
Telefon: +60 19 477 7661
Untuk pautan yang lebih menarik:
- Chenrezig Ngesung Kundrol
- Blessing Eye Problems
- The Buddhist Protectors of the Chinese Zodiac
- Holy Place of Kuan Yin
- Ganapati Ragavajra
- 1000-Armed Kuan Yin-Foo Hai Ch’an Monastery
- Deaf Blind and Mute Transforms into 1,000 Arm Chenrezig
- Avalokiteshvara, Turkey Swamp, Marc & Me
- Visiting the Huge Kuan Yin in Pinang
- Something Simple for the Deceased
- Pu Tuo Shan
- The Meaning of OM MANI PADME HUNG
- Kuan Yin of Macau City
Please support us so that we can continue to bring you more Dharma:
If you are in the United States, please note that your offerings and contributions are tax deductible. ~ the tsemrinpoche.com blog team
I really like what you guys are up too. Such clever work and exposure!
Keep up the superb works guys I’ve you guys to my
personal blogroll.
A nice article. Great to know about Avalokiteshvara (kuan yin) background. Thanks.