Sistem Beraja di Malaysia
Sahabat-sahabat di seluruh dunia sekalian,
Saya telah tinggal di Malaysia lebih 20 tahun. Dalam jangka masa itu, saya telah memupuk satu penghargaan yang besar terhadap budaya dan adat yang wujud di Malaysia, yang telah memberi inspirasi kepada saya untuk lebih banyak menulis tentang aspek-aspek Malaysi yang memperkayakan kebudayaannya. Ini adalah salah satu lagi artikel untuk memberi anda pemahaman dan latar belakang Malaysia.
Malaysia telah mengambil sistem raja berpelembagaan yang merupakan satu campuran antara raja-raja terpilih dan keturunan. Malaysia terdiri daripada beberapa kawasan pentadbiran merentasi tiga belas buah negeri dan tiga buah wilayah persekutuan.
Bagi tujuan artikel ini, kita akan menumpukan kepada jawatan Yang di-Pertuan Agong atau Ketua Kerajaan Malaysia, dan sembilan negeri yang diperintah sama ada melalui raja-raja terpilih atau keturunan. Negeri-negeri tersebut adalah:
- Johor Darul Ta’zim
- Kedah darul Aman
- Kelantan Darul Naim
- Negeri Sembilan Darul Khusus
- Pahang Darul Makmur
- Perak Darul Ridzuan
- Perlis Indera Kayangan
- Selangor Darul Ehsan
- Terengganu Darul Iman
Saya dengan sukacitanya menyampaikan kepada anda, sistem beraja di Malaysia, sejarahnya, dan bagaimana sistem unik ini telah dilaksanakan dengan jayanya selama bertahun-tahun. Saya sampaikannya dengah penuh rasa hormatnya kepada raja-raja dan monarki Malaysia.
Tsem Rinpoche
Ringkasan
Malaysia terdiri daripada beberapa kerajaan Melayu dan wilayah yang terdahulunya merupakan sebahagian daripada wilayah kolonial dan negeri lindungan British. Selepas kegagalan menubuhkan Malayan Union antara tahun 1946 dan 1948, Pentadbiran British telah menubuhkan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948, yang mengakui status simbolik raja-raja Melayu.
Persekutuan Tanah Melayu terdiri daripada sembilan kerajaan Melayu: Johor, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Perak, Perlis, Selangor dan Terengganu, serta dua wilayah kolonial British, iaitu Pulau Pinang dan Melaka. Pesuruhjaya Tinggi British, seorang penjawat diplomat kanan British yang bertanggungjawab terhadap sebuah wilayah Komanwel, telah mempengerusikan Persekutuan Tanah Melayu dan dibantu oleh Majlis Mesyuarat Kerja dan Majlis Mesyuarat Undangan.
Pada 31 Ogos 1957, Persekutuan Tanah Melayu telah mengisytiharkan kemerdekaan daripada Empayar British. Pada 16 September 1963, Persekutuan Malaysia, kemudiannya hanya dikenali sebagai Malaysia, telah ditubuhkan. Anggotanya termasuklah bekas anggota Persekutuan Tanah Melayu dan tiga anggota baru: Borneo Utara, Sarawak dan Singapura. Dua tahun kemudia, Singapura telah meninggalkan persekutuan tersebut.
Senarai negeri-negeri di Malaysia:
No. | Negeri | Ibu Negeri | Ketua Negeri |
1. | Johor Darul Ta’zim (“Johor”) | Johor Bahru | Sultan |
2. | Kedah Darul Aman (“Kedah”) | Alor Setar | Sultan |
3. | Kelantan Darul Naim (“Kelantan”) | Kota Bharu | Sultan |
4. | Melaka | Bandaraya Melaka | Yang di-Pertua Negeri (Governor) |
5. | Negeri Sembilan Darul Khusus (“Negeri Sembilan”) | Seremban | Yamtuan Besar (Yang di-Pertuan Besar) |
6. | Pahang Darul Makmur (“Pahang”) | Kuantan | Sultan |
7. | Pulau Pinang | George Town | Yang di-Pertua Negeri (Governor) |
8. | Perak Darul Ridzuan (“Perak”) | Ipoh | Sultan |
9. | Perlis Indera Kayangan (“Perlis”) | Kangar | Raja |
10. | Sabah | Kota Kinabalu | Yang di-Pertua Negeri (Governor) |
11. | Sarawak | Kuching | Yang di-Pertua Negeri (Governor) |
12. | Selangor Darul Ehsan (“Selangor”) | Shah Alam | Sultan |
13. | Terengganu Darul Iman (“Terengganu”) | Kuala Terengganu | Sultan |
Nota: Bagi tujuan artikel ini, kita akan lebih menumpukan kepada jawatan Yang di-Pertuan Agong, dan negeri-negeri yang menjalankan sistem raja berpelembagaan (Johor, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Selangor dan Terengganu)
Yang di-Pertuan Agong
Sejarah Ringkas
Jawatan Yang di-Pertuan Agong telah diwujudkan selepas Malaysia mendapat kemerdekaannya daripada Britain pada tahun 1957. Yang di-Pertuan Agong adalah ketua negara, dan dilantik oleh Majlis Raja-Raja (the Conference of Rulers). Anggota Majlis Raja-Raja memainkan peranan penting dalam pemindaan perlembagaan, terutamanya yang berkaitan dengan status raja-raja, hak-hak bumiputera, bahasa kebangsaan dan polisi-polisi lain yang berkaitan. Orang pertama yang dilantik oleh Majlis Raja-Raja untuk menjadi Yang di-Pertuan Agong adalah Sultan Ibrahim dari Johor (tahun 1873 – 1959; memerintah: tahun 1933 -1960). Namun begitu, raja yang berumur 84 tahun itu menolak jawatan tersebut kerana usia tuanya. Majlis Raja-Raja kemudiannya memilih Tuanku Abdul Rahman dari Negeri Sembilan (tahun 1895 – 1960; memerintah: tahun 1933 – 1960) sebagai Yang di-Pertuan Agong yang pertama selepas itu.
Proses Pengundian
Majlis Raja-Raja dipertanggungjawabkan untuk menentukan siapa yang akan menjadi Yang di-Pertuan Agong, setiap lima tahun sekali, atau jika jawatan itu dikosongkan akibat kemangkatan atau sebab-sebab yang lain. Keempat-empat gabenor negeri juga turut menghadiri persidangan tersebut, tetapi tidak mempunyai hak untuk terpilih atau mengundi bagi jawatan Yang di-Pertuan Agong.
Berikut merupakan ciri-ciri bagi calon untuk layak menjadi Yang di-Pertuan Agong:
- Calon mestilah seorang raja kerajaan atau kesultanan di Malaysia
- Calon mestilah dewasa
- Calon tidak menyampaikan niat kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja untuk menarik dari pencalonan jawatan Yang di-Pertuan Agong
- Majlis Raja-Raja tidak membantah perlantikan seseorang calon berdasarkan sebab musabab yang meragui kesesuaian calon untuk menjalankan tanggungjawab sebagai Yang di-Pertuan Agong.
Semasa proses pengundian, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan mengedarkan kertas undi dengan senarai calon. Setiap raja-raja akan menyatakan pendapatnya sama ada calon tersebut layak untuk dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong. Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja bersama dengan raja yang muda dari segi pemerintahannya dan tidak tersenarai sebagai calon, akan mengira undi bersama-sama. Calon yang mendapat sekurang-kurangnya lima undian akan ditawarkan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong.
Jika calon itu menolak tawaran tersebut, atau tidak berjaya mendapatkan undian majoriti, proses pengundian akan diulang dengan raja kedua dalam senarai Kekanaan Negeri menjadi calon seterusnya.
Senarai Kekanaan Negeri:
- Yamtuan Besar Negeri Sembilan
- Sultan Selangor
- Raja Perlis
- Sultan Terengganu
- Sultan Kedah
- Sultan Kelantan
- Sultan Pahang
- Sultan Johor
- Sultan Perak
Selepas Yang di-Pertuan Agong dilantik, pemegang jawatan itu akan melantik raja muda untuk membantu menjalankan tanggungjawabnya di negeri asalnya, kecuali tugasnya sebagai Ketua Agama Islam. Yang di-Pertuan Agong masih lagi memegang haknya untuk menjadi Ketua Agama Islam di negeri asalnya.
Senarai Yang di-Pertuan Agong Malaysia:
No. | Nama | Penggal | Negeri |
1. | Tuanku Abdul Rahman | 1957-1960 | Negeri Sembilan |
2. | Sultan Hisamuddin Alam Shah | 1960 | Selangor |
3. | Raja Syed Putra | 1960 – 1965 | Perlis |
4. | Sultan Ismail Nasiruddin Shah | 1965 – 1970 | Terengganu |
5. | Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah | 1970 – 1975 | Kedah |
6. | Sultan Yahya Petra | 1975 – 1979 | Kelantan |
7. | Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah | 1979 – 1984 | Pahang |
8. | Sultan Iskandar | 1984 – 1989 | Johor |
9. | Sultan Azlan Muhibbuddin Shah | 1989 – 1994 | Perak |
10. | Tuanku Jaafar | 1994 – 1999 | Negeri Sembilan |
11. | Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah | 1999 – 2001 | Selangor |
12. | Raja Sirajuddin of Perlis | 2001 – 2006 | Perlis |
13. | Mizan Zainal Abidin of Terengganu | 2006 – 2011 | Terengganu |
14. | Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah | 2011 – present | Kedah |
15. | Sultan Muhammad V | Elected in October 2016 | Kelantan |
Keistimewaan dan Tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong
Yang di-Pertuan Agong harus menjalankan tanggungjawab yang berikut:
- Melantik jawatan penting kerajaan, termasuklah Jemaah Menteri (seperti Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Ketua Setiausaha Negara), jawatankuasa dan suruhanjaya (seperti Suruhanjaya Pilihan Raya, Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam), hakim-hakim (seperti Ketua Hakim Negara, Hakim Besar Malaya dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak), senator dan gabenor.
- Menjadi Ketua Agama Islam di tiga negeri yang ditadbir oleh gabenor, tiga buah Wilayah Persekutuan dan negeri asalnya.
- Menjadi Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera, pegawai tertinggi dalam senarai rantaian perintah ketenteraan
Penghapusan Kekebalan
Pada tahun 1993, perlembagaan Malaysia telah dipinda untuk melucutkan kekebalan Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja dalam lingkup peribadi mereka. Perlembagaan juga menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana raja tidak boleh memberi pengampunan kepada diri sendiri atau keluarga terdekatnya. Namun begitu, mereka boleh membuat permintaan untuk pengampunan dari Majlis Raja-Raja.
Sistem beraja di negeri-negeri di Malaysia
Ketika ini, terdapat sembilan buah negeri di Malaysia yang mengamalkan sistem raja berpelembagaan. Perlembagaan negeri menyatakan bahawa hanya lelaki beragama Islam dan berketurunan diraja sahaja yang layak untuk menjadi ketua negeri tersebut. Seperti sistem raja berpelembagaan yang lain, raja-raja tidak terlibat dalam pentadbiran seharian kerajaan negeri mereka. Namun begitu, mereka masih berhak untuk menjadi Ketua Agama Islam dan untuk melantik Menteri Besar (Chief Minister), atau ketua kerajaan negeri tersebut.
Kedah
Sejarah Ringkas
Kesultanan Kedah juga dikenali sebagai Darul Aman, atau ‘Abode of Peace’ (Tempat Keamanan). Kedah asalnya adalah sebuah kerajaan Hindu yang diasaskan pada tahun 630 Sebelum Masihi oleh Maharaja Derbar Raja dari Gemeron, yang juga dikenali sebagai Bandar Abbas. Seorang putera raja Parsi yang telah ditumpaskan dalam peperangan, dia melarikan diri dan terkandas di Kedah. Bandar Abbas menjalinkan hubungan yang baik dengan penduduk di Kedah, dan mereka mengangkatnya sebagai raja mereka, Sri Paduka Maharaja Durbar Raja I.
Pada penghujung abad ke-11, pengaruh Islam telah sampai ke Kedah. Maharaja kesembilan Kedah, Sri Paduka Maharaja Durbar Raja II telah memeluk ajaran baru ini, dan menukar nama dan gelarannya kepada Sultan Mudzafar Shah I (memerintah tahun 1136 – 1179). Selepas dari itu, kerajaan Kedah menjadi kesultanan Kedah. Dari segi sejarah, Kedah telah jatuh di bawah kawalan kerajaan Srivijaya, Siam, Britain dan Jepun. Semasa kedah merupakan negeri uftian Siam, ia terpaksa kerap menghantar Bunga Mas atau Bunga Emas dan hadiah-hadiah berharga yang lain kepada kerajaan Siam. Pada abad ke-18, Sultan Kedah menyerahkan Pulau Pinang dan Province of Wellesley kepada British untuk mendapatkan perlindungan mereka daripada Siam. Namun, Siam telah menyerang Kedah pada tahun 1821 dan mengambil kuasa di kawan itu. Siam juga telah memisahkan wilayah Perlis dari kesultanan Kedah. Pada tahun 1909, Perjanjian British-Siam telah ditandatangani pada tahun 1909, dan Britain mendapat kuasa di Kedah. Siam mengambil alih semula kuasa buat seketika semasa Perang Dunia Kedua sebagai ganjaran perikatan mereka dengan Jepun, namun telah diserahkan semula kepada Empayar British selepas Perang Dunia Kedua. Kedah menyertai Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948 dan kemudiannya Malaysia pada tahun 1963.
Sistem Beraja Kedah
Kesultanan Kedah mengamalkan sistem beraja keturunan dan berpelembagaan. Sultan Kedah terkini adalah Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah ( tahun 1927 – hingga kini; memerintah: tahun 1958 – hingga kini). Baginda mewarisi takhta daripada ayahandanya, Sultan Badlishah (tahun 1894 – 1958; memerintah: tahun 1943 – 1658).
Kelantan
Sejarah Ringkas
Kelantan mempunyai sejarah yang berwarna-warni dan bergelora. Sepanjang sejarahnya, pedagang-pedagang China, India dan Siam telah menjalankan perniagaan mereka di Kelantan, yang menjadikannya sasaran yang menarik untuk kuasa asing mengambil kuasa di kawasan ini. Pada abad ke-13 dan ke-14, kesultanan Kelantan menjadi negeri uftian kerajaan Majapahit dan Srivijaya. Pada abada ke-15, Kelantan menjadi negeri uftian Siam dan kemudiannya Melaka. Semasa Kelantan merupakan negeri uftian bagi Siam, ia terpaksa menghantar Bunga Mas atau Bunga Emas dan hadiah-hadiah berharga yang lainnya kepada kerajaan Siam. Sewaktu jajahan Portugis di Melaka, kesultanan Kelantan telah dibahagikan kepada beberapa kawasan yang lebih kecil di bawah kuasa ketua-ketua feudal. Siam telah mengambil semula kuasa di kawasan ini dan meletakkannya di bawah penguasaan kerajaan Patani.
Pada tahun 1760, seorang ketua dari Kubang Labu bernama Long Muhammad atau Long Pandak telah menyatukan bekas-bekas wilayah Kelantan dan melantik dirinya sebagai pemerintah. Beberapa tahun kemudian, seorang pahlawan Pattani, Long Yunus telah menjatuhkan Long Pandak dan mengisytiharkan dirinya sebagai Raja Kelantan (tahun 1734 – 1794; memerintah: tahun 1775 – 1794). Selepas kemangkatan Long Yunus, kuasa ke atas Kelantan telah dialih kepada Terengganu dibawah kuasa Yang di-Pertuan Muda Tengku Muhammad, anakanda kepada Sultan Mansur di Terengganu (memerintah: tahun 1794 – 1800). Pada tahun 1800, anakanda kepada Raja Yunus, Long Muhammad, menisytiharkan dirinya sebagai pemerintah Kelantan dibawah gelaran Sultan Muhammad I (memerintah: tahun 1800 – 1835). Kelantan menyertai Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948 dan Persekutuan Malaysia pada tahun 1963.
Sistem Beraja Kelantan
Negeri Kelantan mengamalkan sistem beraja keturunan dan berpelembagaan. Pemegang jawatan Sultan Kelantan telah ditetapkan juga sebagai Ketua Agama Islam dan ketua kerajaan Kelantan. Raja terkini di Kelantan ialah Sultan Muhammad V (1969 – hingga kini; memerintah: tahun 2010 – hingga kini). Baginda mewarisi takhta dari ayahandanya, Sultan Ismail Petra (memrintah: tahun 1979 – 2010).
Johor
Sejarah Ringkas
Johor asalnya merupakan sebahagian daripada kesultanan Melaka. Pada tahun 1511, Portugis telah menawan Melaka dan Sultan Mahmud Shah terpaksa melarikan diri dari kerajaannya ke Bintan. Baginda telah beberapa kali gagal untuk mengambil semula kerajaannya sebelum Portugis menyerang Bintan pada tahun 1526 dan memaksa baginda melarikan diri ke Kampar, Sumatra. Sultan Mahmud Shah mangkat pada tahun 1528, dan kedua orang puteranya telah mengasaskankan kesultanan mereka masing-masing. Sultan Muzaffar Shah (memerintah: tahun 1528 – 1549) telah mengasaskan kesultanan Perak, sementara Sultan Alauddin Riayat Shah (tahun 1513 – 1564; memerintah: tahun 1528 – 1564) telah mengasaskan kesultanan Johor. Selama beberapa ketika, Sultan yang baru dan keturunannya telah diganggu oleh Portugis dan Aceh, namun mereka berjaya mempertahankan wilayah barunya itu.
Pada awal abad ke-17, Belanda tiba di Asia Tenggara dan menandatangani dua perjanjian perikatan dengan kesultanan Johor pada tahun 1606. Kesultanan Johor dan Belanda bergabung tenaga untuk mengalahkan Portugis di Melaka. Selepas peperangan, Belanda telah mengambil kuasa di Melaka, dan seperti yang telah dipersetujui, Belanda bersetuju untuk tidak menduduki wilayah kesultanan Johor.
Antara tahun 1666 dan 1673, Jambi, sebahagian daripada kesultanan Johor, telah menjadi satu kawasan yang makmur dan cuba untuk berpecah dari Johor. Niat pemisahan ini telah menjadi satu perang saudara. Semasa waktu ini, Sultan Johor berusaha untuk menyatukan kesultanannya dan terpaksa untuk memindahkan ibu negerinya untuk beberapa kali. Pada abad ke-17, Johor menjadi pusat perdagangan dengan pengaruh melebihi Melaka. Pihak Belanda tidak begitu gembira dengan hal ini, tetapi masih berpegang kepada perjanjian yang telah ditandatangani. Sultan terakhir daripada keturunan asal Dinasti Melaka ialah Sultan Mahmud Shah II dari Johor(tahun 1675 – 1699; memerintah: tahun 1685 – 1699). Baginda mangkat tanpa waris, oleh sebab itu, kumpulan dominan dalam istananya, melantik Bendahara Abdul Jalil (memerintah 1699 – 1720) untuk menggantikannya, sebagai Sultan Abdul Jalil IV.
Takhta itu kemudiannya telah dirampas oleh Raja Kecil, yang mendakwa dirinya sebagai putera Sultan Mahmud Shah II. Raja Kecil telah mengupah pembunuh upahan untuk membunuh Sultan Abdul Jalil IV dan mengangkat dirinya sendiri sebagai Sultan Johor. Namun, pemerintahan Raja Kecil tidak lama, kerana anakanda Sultan Abdul Jalil, Sultan Sulaiman (memerintah: tahun 1722 – 1760) mengambil semula takhta dengan bantuan seorang tokoh Bugis yang berpengaruh, Daeng Parani. Setelah Sultan Sulaiman dinobatkan sebagai Sultan Johor, Daeng Merewah, kekanda kepada Daeng Parani, telah dilantik sebagai Yam Tuan Muda atau waris kepada takhta. Pada tahun 1819, kesultanan Johor telah dipecahkan kepada tanah besar Johor dan wilayah Riau-Lingga. Sultan Johor memegang kuasa ke atas tanah besar Johor, sementara wilayah Riau-Lingga telah diserahkan kepada puak Bugis.
Selepas kehilangan Riau-Lingga, Johor terus membangun menjadi kesultanan yang moden. Dalam pemerintahan Sultan Abu Bakar Johor (1833 – 1895; memerintah: 1862 – 1895), baginda telah menubuhkan pentabdiran mengikut cara British dan perlembagaan negeri, dan telah dikenali sebagai Bapa Johor Moden. Johor telah menyertai Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948 dan Persekutuan Malaysia pada tahun 1963.
Sistem Beraja Di Johor
Johor mengamalkan sistem beraja keturunan dan berpelembagaan. Sultan Johor terkini ialah Sultan Ibrahim Ismail (tahun 1958 – hingga kini; memerintah 2010 – hingga kini). Baginda mewarisi takhta dari ayahandanya, Sultan Iskandar (1932 – 2010; memerintah: 1981 – 2010).
Negeri Sembilan
Sejarah RIngkas
Negeri Sembilan merupakan negeri uftian kesultanan Melaka. Selepas Melaka jatuh ke dalam kuasa Portugis, negeri itu berada dalam perlindungan kesultanan Johor. Pada abad ke-14, penduduk dari Minangkabau di Sumatra telah berhijrah ke Negeri Sembilan. Oleh itu, berbanding dengan negeri-negeri lain, kebanyakan orang di Negeri Sembilan mengamalkan sistem nasab ibu, yang merupakan ciri-ciri masyarakat Minangkabau. Pada abad ke-18, kesultanan Johor terpaksa menangani urusan dalaman, dan tidak dapat melindungi Negeri Sembilan daripada serangan Bugis. Disebabkan itu, Negeri Sembilan mendapatkan perlindungan daripada Sultan Abdul Jalil Pagar Ruyung di Minangkabau, yang kemudiannya menghantar anakandanya Raja Melewar sebagi wakil.
Namun begitu, apabila Raja Melewar tiba di Negeri Sembilan, baginda mendapati seorang yang bernama Raj Khatib telah mengisytiharkan dirinya sendiri sebagai pemerintah Negeri Sembilan. Raja Melewar mengisytiharkan perang ke atas raja baru itu, dan menumpaskan Raja Khatib, dan menabalkan dirinya sebagai pemerintah Negeri Sembilan. Kesultanan Johor mengakui Raja Melewar (memerintah: tahun 1773 – 1795) sebagai pemerintah Negeri Sembilan dan memberikannya gelaran Yamtuan Seri Menanti atau ‘He Who is the Highest Lord of Seri Menanti’ (Dia yang merupakan Ketua Tertinggi Seri Menanti). Selepas kemangkatan Raja Melewar, pemilihan pemeritah seterusnya kerap berakhir dengan perang saudara dan ketidakstabilan, kerana terdapat kepentingan dan sokongan yang bercanggah kepada beberapa pihak yang menuntut takhta. Pada tahun 1873, pihak British membuat keputusan untuk melindungi kepentingan mereka di Negeri Sembilan dengan campur tangan dalam perang saudara itu. Disebabkan itu, kawasan ini jatuh di bawah pendudukan British. Negeri Sembilan menyertai Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948 dan Persekutuan Malaysia pada tahun 1963.
Sistem Beraja di Negeri Sembilan
Negeri Sembilan mengamalkan sistem beraja pilihan dan berpelembagaan. Pemerintah Negeri Sembilan dipanggil Yang di-Pertuan Besar atau ‘He Who Is Made Great’ (Dia yang dijadikan Hebat). Baginda dilantik oleh Pembesar Memerintah Negeri Sembilan, atau juga dikenali sebagai Undang, seumur hidup. Berikut adalah senarai Undang yang berhak untuk mengundi, tetapi tidak mempunyai hak untuk tercalon:
- Undang Sungai Ujong
- Undang Jelebu
- Undang Johol
- Undang Rembau
Untuk calon layak bagi jawatan Yang di-Pertuan Besar, seseorang calon mestilah lelaki, beragama Islam, dan diakui sebagai waris keturunan Raja Radin Ibni Raja Lenggang. Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan terkini ialah Tuanku Muhriz (tahun 1948 – hingga kini; memerintah: 2008 – hingga kini).
Pahang
Sejarah Ringkas
Sultan Pahang yang pertama ialah Muhammad Shah (memerintah: tahun 1470 – 1475). Baginda merupakan waris kepada takhta Melaka sebelum dibuang negeri ke Pahang oleh ayahandanya, Sultan Mansyur Shah (memerintah: tahun 1459 – 1477) kerana telah melakukan pembunuhan. Pahang pernah jatuh di bawah kekuasaan beberapa kerajaan, seperti Srivijaya, Majapahit, Siam dan Melaka. Pada abad ke-16, Pahang menarik perhatian pihak Portugis, Belandan, Johor dan Aceh. Pada abad ke-17, Pahang menjadi wilayah jajahan kesultanan Johor. Namun, memandangkan pemerintah Pahang berketurunan dari keluarga diraja Melaka dan Johor, mereka berjaya mendapatkan sedikit autonomi dari kesultanan Johor. Sewaktu pemerintahan Bendahara Tun Ali dari Pahang (memerintah: tahun 1806 – 1847), keamanan dan kestabilan dapat dijaga. Malangnya, selepas kemangkatannya, putera-puteranya, Tun Mutahir (memerintah: tahun 1858 – 1863) dan Tun Ahmad berbalah tentang siapa yang berhak untuk mewarisi takhta dan telah memulakan perang saudara. Tun Ahmad (memerintah: tahun 1863 – 1881) kemudiannya telah ditabalkan menjadi sultan yang baru, namun kuasanya telah berkurangan kerana terpaksa untuk tunduk kepada pentadbiran British.
Selepas kesultanan Johor kehilangan wilayah Riau-Lingga kepada Bugis, Temenggung Ibrahim dari Johor telah menandatangani perjanjian dengan Bendahara Tun Mutahir dari Pahang (memerintah: tahun 1858 – 1863), yang menyatakan bahawa Temenggung Ibrahim dan warisnya berhak untuk memerintah negeri Johor, sementara Bendahara Tun Mutahir dan warisnya berhak untuk memerintah di negeri Pahang. Selepas perjanjian ditandatangani, Pahang telah mendapat kebebasan daripada Johor. Pahang menyertai Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948 dan Persekutuan Malaysia pada tahun 1963.
Sistem Beraja di Pahang
Pahang merupakan negeri ketiga terbesar di Malaysia. Pahang mengamalkan sistem beraja keturunan dan berpelembagaan. Pemerintah terkini negeri Pahang ialah Sultan Ahmad Shah (memerintah: tahun 1974 – hingga kini). Baginda mearisi takhta dari ayahandanya, almarhum Sultan Abu Bakar Pahang (tahun 1904 – 1974; memerintah: tahun 1932 – 1974).
Perlis
Sejarah Ringkas
Perlis pada asalnya merupakan sebahagian daripada kesultanan KEdah., Pada abad ke-19, sewaktu Kedah berada dalam pemerintahan Siam, Siam telah memisahkan Perlis dari Kedah dan melantik gabenor dan timbalan gabenornya. Pada 20 Mei 1843, Siam telah menabalkan Sayyid Hussain Jamalulail sebagai Raja Perlis (memerintah: tahun 1843 – 1873), setara dengan raja atau pemerintah. Raja yang baru itu, merupakan cucu dari sebelah ibu Sultan Kedah. Sama seperti kesultanan Kedah, pada awal abad ke-20, Siam telah terpaksa untuk melepaskan sebahagian daripada wilayahnya kepada kekuasaan British, termasuklah Perlis. Perlis kembali berada di bawah pemerintahan sementara Siam sewaktu Perang Dunia Kedua, sebagai ganjaran perikatan Siam bersama Jepun. Selepas Jepun kalah dalam peperangan, Perlis dipulangkan kepada Britain. Perlis menyertai Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948 dan Persekutuan Malaysia pada tahun 1963.
Sistem Beraja Perlis
Perlis mengamal sistem beraja keturunan dan berpelembagaan. Tidak seperti negeri-negeri lain di Malaysia, raja di Perlis dipanggil Raja dan bukan Sultan. Raja terkini Perlis ialah Tu7anku Syed Sirajuddin Jamalullail (tahun 1943 – hingga kini; memerintah: tahun 2000 – hingga kini). Baginda mewarisi takhta daripada ayahandanya, almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail (1920 – 2000; memerintah: tahun 1945 – 2000).
Perak
Sejarah Ringkas
Selepas Melaka jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511, putera kepada Sultan Melaka, Sultan Mahmud Syah I; Sultan Alauddin Riayat Shah II, mengasaskan kesultanan Perak pada tahun 1528, dan menabalkan dirinya sendiri sebagai Sultan Perak yang pertama. Pihak Belanda tiba di Perak pada pertengahan abad ke-17 dan menggunakan hubungan mereka dengan Aceh untuk memaksa Sultan Perak menandatangani satu perkankian yang akan membernarkan pihak Belanda untuk membina loji dan berdagang di Perak. Namun begitu, emeandangkan pihak Belanda gagal untuk menjalinkan hubungan yang baik dengan penduduk Perak, penduduk Perak telah memusnahkan loji dan memaksa pihak Belanda untuk pergi. Pada tahun 1670, Belanda telah berjaya untuk mendapat persetujuan dari pemerintah Perak untuk membina sebuah Kubu di Pulau Pangkor yang dikenali sebagai Kota Belanda. Namun, 15 tahun kemudian, orang-orang Perak telah menyerang kubu itu dan memaksa pihak Belanda untuk skeali lagi menghentikan operasi mereka di Perak.
Pada abad ke-19, British telah memaksa Perak untuk tunduk kepada kuasa mereka dan menabalkan Sultan Abdullah sebagai raja baru Perak, dan pegawai British, James W. W. Birch telah diberi tugas untuk mentadbir kesultanan itu. Malang bagi Encik Birch, dia telah dibunuh oleh orang-orang Perak. Pihak British, tidak berpuas hati dengan kejadian itu, telah membuang negeri Sultan Abdullah ke Seychelles, dan menabalkan raja yang baru, Sultan Yusuf Sharifudin Mudzaffar Shah pada tahun 1877. British juga telah melantik pegawai yang baru yang juga fasih dalam bahasa Melayu dan biasa dengan budaya tempatan, Sir Hugh Low. Dia lebih berjaya sebagai pentadbir negeri Perak berbanding yang sebelumnya. Perak menyertai Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948 dan Persekutuan Malaysia pada tahun 1963.
Sistem Beraja Perak
Perak mengamalkan sistem beraja pilihan dan berpelembagaan. Pemerintah dicalonkan diantara putera yang paling kanan yang merupakan wari keturunan Sultan Ahmaddin (memerintah: 1786 – 1806), Sultan Pahang ke-18. Oleh itu, waris lelaki dari sultan yang sebelumnya juga turut layak untuk menjadi raja di Perak. Sultan yang terkini ialah Nazrin Muizuddin Shah dari Perak (tahun 1956 – hingga kini; memerintah: tahun 2014 – hingga kini).
Selangor
Sejarah Ringkas
Selangor merupakan sebahagian daripada kerajaan Melaka. Selepas Portugis mengambil Melaka; Johor, Aceh dan Siam telah cuba untuk menuntut wilayah Selangor tetapi tidak berjaya. Apabila Belanda tiba di Melaka, mereka menjemput peneroka Bugis untuk datang ke Selangor, dan pendatang baru itu telah menyingkirkan peneroka Minangkabau yang sedia ada. Pemerintah kesultanan Selangor merupakan ketrurunan daripada peneroka Bugis yang mendakwa mempunyai pertalian dengan pemerintah Luwu di Sulawesi. Sultan Selangor yang pertama ialah Sultan Sallehuddin Shah, juga dikenali sebagai Raja Lumu (tahun 1705 – 1778; memerintah: tahun 1756 – 1778), anak kepada seorang pahlawan Bugis, Daeng Chelak. Pemerintah Perak dan Johor pada awalnya mencabar pertabalan Sultan Sallehuddin Shah, tetapi dia berjaya mendapatkan sedikit keabsahan melalui perkahwinannya dengan ahli dari keluarga diraja Perak. Pada abad ke-19, eksploitasi sumber bijih timah di Selangor membawa kepada kemakmuran ekonomi. Sewaktu pemerintahan Sultan Muhammad Shah (memerintah: tahun 1826 – 1857), Selangor telah dibahagikan kepada 5 kawasan: Bernam, Kuala Selangor, Kelang, Langat dan Lukut, dengan ketua masing-masing bagi setiap kawasan.
Pada tahun 1886, Sultan Abdul Samad, juga dikenali sebagi Raja Abdul Samad (tahun 1804 – 1898; memerintah: tahun 1857 – 1898), memilih Raja Abdullah sebagai ketua Klang berbanding Raja Mahadi, anak kepada ketua yang sebelumnya. Perlantikan ini telah mencetuskan Perang Kelang. Tengku Kudin, menantu kepda Sultan Abdul Samad, telah diberikan tugas untuk mengendalikan situasi tersebut. Tengku Kudin telah mendapatkan bantuan dari tentera upahan, kesultanan Pahang dan Sir Andrew Clarke dari Britain. Oleh sebab ini, tidak seperti negeri-negeri yang lain, Selangor telah menjemput dan mengalu-alukan penglibatan British. Sultan Abdul Samad juga telah menerima seorang residen British, Frank Swettenham, sebagai penasihatnya. Kestabilan yang mengikuti pentadbiran British telah membawa kepada kemakmuran kepada negeri Selangor. Selangor menyertai Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948 dan Persekutuan Malaysia pada tahun 1963. Sultan Salahuddin dari Selangor (tahun 1926 – 2001; memerintah: tahun 1960 – 2001) telah memperkenankan penyerahan Kuala Lumpur kepada Kerajaan Persekutuan pada tahun 1974, dan Putrajaya pada tahun 2001.
Sistem Beraja di Selangor
Selangor mengamalkan sistem beraja keturunan dan berpelembagaan. Sultan terkini ialah Sharafuddin dari Selangor (tahun 1945 – hingga kini; memerintah: 2001 – hingga kini). Baginda mewarisi takhta dari ayahandanya, almarhum Sultan Salahuddin dari Selangor.
Terengganu
Sejarah Ringkas
Terengganu asalnya merupakan negeri lindungan kesultanan Melaka dan kemudiannya kesultanan Johor. Ia juga merupakan negeri pertama di rantau Melayu yang menerima Islam sebagai agamanya, seperti yang tercatat dalam Batu Bersurat Terengganu. Pada tahun 1725, Terengganu menjadi kesultanan yang bebas di bawah Tun Zainal Abidin (memerintah: tahun 1725 – 1733), seorang saudara Sultan Johor. Pada abad ke-19, kuasa politik telah beralih, dan Teerngganu menjadi negeri uftian Siam dan terpaksa kerap menghantar Bunga Mas atau Bunga Emas dan hadiah-hadiah berharga yang lain kepada kerajaan Siam. Terengganu menjadi makmur pada tempoh ini, memandangkan Siam telah memberikan mereka autonomi yang besar untuk mentadbir sendiri. Pada abad ke-20, Terengganu menjadi negeri uftian Britain. Empayar British telah memaksa kesultanan Terengganu untuk menerima penasihat British. Namun begitu, tindakan ini tidak diminati penduduk tempatan. Siam mendapat kawalan semula ke atas Terengganu buat seketika sewaktu pendudukan Jepun, tetapi negeri itu dipulangkan kepada empayar British selepas Perang Dunia Kedua. Terengganu menyertai Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948 dan kemudian Malaysia pada tahun 1963.
Sistem Beraja Terengganu
Terengganu mengamalkan sistem beraja keturunan dan berpelembagaan. Sultan terkini ialah Tuanku Mizan Zainal Abidin dari Terengganu (tahun 1962 – hingga kini; memerintah: tahun 1998 – hingga kini). Baginda mewarisi takhta selepas kemangkatan ayahandanya. almarhum Sultan Mahmud (tahun 1930 – 1998; memerintah: tahun 1979 – 1998).
Sumber:
- http://thecommonwealth.org/our-member-countries/malaysia/history
- http://www.nationsonline.org/oneworld/malaysia.htm
- http://www.countryreports.org/country/Malaysia.htm
- http://www.countryreports.org/country/Malaysia/government.htm
- http://www.countryreports.org/country/Malaysia.htm
- http://www.wonderfulmalaysia.com/malaysia-history-and-historical-facts.htm
- http://www.kln.gov.my/web/guest/history
- http://www.thestar.com.my/news/nation/2016/10/11/rulers-to-choose-next-yang-dipertuan-agong/
- https://en.wikipedia.org/wiki/Yang_di-Pertuan_Agong
- https://en.wikipedia.org/wiki/Monarchies_of_Malaysia
- https://en.wikipedia.org/wiki/Kedah_Sultanate
- http://factsanddetails.com/southeast-asia/Malaysia/sub5_4c/entry-3672.html
- http://www.malaysianbar.org.my/constitutional_law/powers_and_functions_of_state_rulers.html
- https://en.wikipedia.org/wiki/Johor_Sultanate\
- https://en.wikipedia.org/wiki/Johor
- https://en.wikipedia.org/wiki/Kedah_Sultanate
- https://www.facebook.com/notes/dravidian-keyboard-warriors/kesultanan-negeri-kedah-kedah-sultanate-invasion-of-chola-kadaram-kondan-conquer/1085195028161653/
- https://en.wikipedia.org/wiki/History_of_Kedah
- https://en.wikipedia.org/wiki/Kelantan
- https://en.wikipedia.org/wiki/Sultan_of_Kelantan
- https://en.wikipedia.org/wiki/Negeri_Sembilan
- https://en.wikipedia.org/wiki/Pahang
- https://en.wikipedia.org/wiki/Sultan_of_Pahang
- https://en.wikipedia.org/wiki/Abu_Bakar_of_Pahang
- https://en.wikipedia.org/wiki/Ahmad_Shah_of_Pahang
- https://en.wikipedia.org/wiki/Perak
- https://en.wikipedia.org/wiki/Abdul_Samad_of_Selangor
- https://en.wikipedia.org/wiki/Salahuddin_of_Selangor
- https://en.wikipedia.org/wiki/Mahmud_of_Terengganu
- http://www.terengganu.gov.my
- https://en.wikipedia.org/wiki/Elective_monarchy
Untuk maklumat yang lebih menarik:
- The Buddhist Kingdoms of Indonesia
- The Crown Prince of Johor Urges Muslims to Respect Other Beliefs
- Emperor Ashoka The Great
- Emperor Kangxi
- King Milindu (Menader I) & Arahanth Nagasena (Part 1)
- The Sixteen Dreams of King Pasenadi Kosol and Their Interpretations by The Buddha
- Britain Should Stop Trying to Pretend That Its Empire Was Benevolent
- 5 Atrocities of the British Empire
Please support us so that we can continue to bring you more Dharma:
If you are in the United States, please note that your offerings and contributions are tax deductible. ~ the tsemrinpoche.com blog team
DISCLAIMER IN RELATION TO COMMENTS OR POSTS GIVEN BY THIRD PARTIES BELOW
Kindly note that the comments or posts given by third parties in the comment section below do not represent the views of the owner and/or host of this Blog, save for responses specifically given by the owner and/or host. All other comments or posts or any other opinions, discussions or views given below under the comment section do not represent our views and should not be regarded as such. We reserve the right to remove any comments/views which we may find offensive but due to the volume of such comments, the non removal and/or non detection of any such comments/views does not mean that we condone the same.
We do hope that the participants of any comments, posts, opinions, discussions or views below will act responsibly and do not engage nor make any statements which are defamatory in nature or which may incite and contempt or ridicule of any party, individual or their beliefs or to contravene any laws.
Please enter your details