10 Pantai Tercantik di Malaysia
Malaysia terdiri daripada semenanjung di sebelah barat dan sebahagian daripada pulau Borneo di sebelah timur. Dikelilingi oleh lautan, Malaysia mempunyai antara pantai yang tercantik di dunia. Dengan cuaca tropika yang panas sepanjang tahun, Malaysia merupakan tempat yang paling sempurna buat para pelancong yang ingin bercuti sambil menikmati panas matahari, pantai dan laut.
Saya membesar di sebuah pulau bahangian utara Malaysia bernama Pulau Pinang, yang dikelilingi oleh laut. Semasa membesar, kunjungan ke tepi pantai merupakan aktiviti hari minggu bersama keluarga dan rakan-rakan. Apabila saya berpindah ke Kuala Lumpur, saya sedar bahawa saya tidak lagi berpeluang untuk berbuat sedemikian.
Di sini, saya senaraikan 10 pantai tercantik di Malaysia yang anda boleh kunjungi. Setiap destinasi terletak di kawasan yang berbeza dengan daya tarikannya yang tersendiri.
Sudah semestinya, saya dengan perasaan berat sebelah akan menyenaraikan Pulau Pinang sebagai salah satu pantai yang tercantik di Malaysia! Selamat membaca dan saya berharap agar hasil penulisan saya ini dapat membantu anda merancang bakal percutian pantai anda di Malaysia.
Tsem Rinpoche dan William
1. Pulau Pangkor & Pangkor Laut
Pulau Pangkor terletak di negeri Perak, Semenanjung Malaysia. Pulau ini bersama-sama dengan 8 pulau lain membentuk satu gugusan pulau. Hanya dua pulau yang didiami iaitu Pulau Pangkor dan Pangkor Laut.
Untuk ke Pulau Pangkor, anda boleh menaiki pesawat dari Kuala Lumpur ataupun bot dari Lumut. Pantai-pantai di Pulau Pangkor adalah Teluk Nipah, Teluk Karang, Teluk Belangga dan Pasir Bogak. Kesemuanya cantik-cantik belaka. Aktiviti utama yang anda boleh lakukan di pantai tersebut ialah meluncur atas air, menaiki bot pisang dan berkayak. Anda juga boleh meluangkan masa melawat tempat-tempat menarik di sekeliling pulau tersebut. Tempat-tempat menarik yang boleh anda dikunjungi adalah Kubu Belanda dengan Batu Harimau, Tokong Foo Lin Kang dan kampung-kampung nelayan. Anda juga boleh membeli produk-produk tempatan seperti ikan bilis dan produk buatan ikan yang lain.
Pangkor Laut merupakan pulau persendirian yang mempunyai resort mewah. Masa perjalanan ke pulau ini hanya kira-kira 10 minit dengan bot dari Pulau Pangkor. Pantai terkenal di sini adalah Teluk Zamrud dengan airnya yang berwarna hijau zamrud. Anda boleh bersantai di atas kerusi berjemur ataupun mandi laut. Anda juga boleh menyewa bot untuk bersiar-siar sambil menikmati pemandangan laut.
2. Pulau Langkawi
Pulau Langkawi mudah diakses melalui penerbangan domestik ataupun antarabangsa. Selain itu, anda boleh menaiki feri ke Pulau Langkawi dari Pulau Pinang atau Kuala Perlis.
Langkawi terdiri daripada lebih 100 buah pulau yang membentuk gugusan kepulauan. Ia dianugerahkan status World Geopark oleh UNESCO kerana kekayaan flora dan faunanya. Pembentukan batu semulajadi Pulau Langkawi juga merupakan salah satu keunikannya.
Pantai Cenang di Langkawi merupakan pantai terkenal yang sering dikunjungi oleh para pelancong tempatan dan luar negara. Musim terbaik untuk berkunjung ke Langkawi adalah bulan Disember hingga Januari. Pantai tersebut akan sibuk dengan aktiviti sukan air yang seperti meluncur atas air, “parasailing” dan menaiki bot pisang. Sekiranya anda mencari ketenangan sambil menikmati kecantikan semulajadi Langkawi, anda boleh menyewa bot untuk belayar menjelajah pulau atau mengelilingi taman geo.
Langkawi juga merupakan syurga bagi para pembeli kerana seluruh pulau ini adalah bebas cukai. Semua barangan dikecualikan dari cukai. Anda juga boleh mengunjungi jambatan gantung atau menaiki kereta kabel untuk sampai ke puncak Langkawi. Semasa berada di puncak tersebut, anda akan dapat menikmati pemandangan alam semulajadi yang menakjubkan.
Terdapat banyak pilihan tempat penginapan untuk para pengunjung, dari resort bertaraf 5 bintang seperti The Four Seasons hinggalah chalet tepi pantai. Langkawi merupakan destinasi sesuai untuk sekeluarga dan juga para pengembara.
3. Pulau Tioman
Pulau Tioman terletak di negeri pantai timur, Pahang dan merupakan sebahagian daripada taman laut dan kawasan simpanan semulajadi Tioman. Pulau ini juga merupakan pulau bebas cukai dan adalah syurga membeli belah bagi para pengunjung. Selain itu, Tioman juga dikatakan mempunyai antara pantai yang tercantik di dunia. Pantai Juara terkenal dengan pantainya yang berpasir putih dan air yang jernih. Pantai Salang pula merupakan pantai kedua yang terkenal.
Para pengunjung boleh mencuba pelbagai aktiviti air seperti bersnorkel, menyelam dan memancing. Bulan Ogos adalah bulan terbaik bagi para pengunjung untuk berselam kerana airnya yang suam akan menarik pelbagai hidupan laut ke pantai. Di samping itu, para pelawat juga boleh menikmati alam semulajadi dengan berjalan merentasi hutan. Terdapat pelbagai spesis haiwan yang dilindungi di dalam hutan tersebut. Jika anda bernasib baik, anda mungkin dapat bertembung dengan haiwan seperti kongkang, kancil dan landak.
Jika anda seorang yang gemarkan permainan golf, anda boleh bermain di salah satu padang golf yang terdapat di pulau itu.
Masa terbaik untuk berkunjung ke Pulau Tioman adalah di antara bulan Mei dan Julai. Bulan-bulan yang patut dielakkan adalah ketika musim monsun apabila ombak tinggi and merbahaya.
4. Pulau Redang
Pulau Redang adalah pulau yang paling terkenal di antara sembilan buah pulau dalam gugusan Pulau Redang, yang membentuk taman laut di Terengganu. Pulau ini terletak kira-kira 45 kilometer dari Kuala Terengganu. Anda perlu menaiki bot selama 40 minit dari Jeti Merang untuk tiba di pantai terbesar pulau tersebut yang bernama Pasir Panjang.
Aktiviti yang paling digemari di Pulau Redang ialah bersnokel kerana airnya yang tenang kaya dengan terumbu karang. Banyak resort menawarkan pakej bersnorkel dan khidmat bot untuk ke pulau yang berdekatan. Satu lagi aktiviti yang digemari ramai adalah menyelam skuba. Anda mungkin bertemu dengan penyu hijau atau jerung terumbu semasa menyelam kerana airnya yang begitu jernih. Aktiviti laut bermotor tidak dibenarkan di sini untuk melindungi terumbu karang. Anda juga boleh pergi berkayak atau bermain bola tampar di tepi pantai sekiranya anda ingin berehat daripada menyelam.
Elakkan dari berkunjung ke Pulau Redang semasa musim monsun iaitu dari bulan November hingga Februari. Ini adalah kerana pada masa ini, semua tempat penginapan akan ditutup dan pengangkutan untuk ke pulau amat terhad. Tiada penginapan berkos rendah terdapat di pulau ini. Hanya resort berkos sederhana dan tinggi sahaja yang beroperasi dan kebanyakannya terletak di Pasir Panjang.
5. Pulau Perhentian
Pulau Perhentian terletak berdekatan dengan Terengganu yang terletak di pantai timur Malaysia. Terdapat dua pulau utama iaitu Perhentian Besar (Pulau Besar) dan Perhentian Kecil (Pulau Kecil). Kedua-duanya mengambil masa sejam dengan bot dari Kuala Besut di Kelantan atau Kuala Terengganu di Terengganu.
Pulau Perhentian dikelilingi pantai yang berpasir putih dan laut yang kaya dengan terumbu karang yang terpelihara dan dilindungi. Para pelawat yang berkunjung ke sana biasanya akan bersnorkel dan menyelam untuk menerokai kehidupan laut dan terumbu karang yang mengagumkan.
Perhentian Kecil telah disenaraikan oleh CNN sebagai salah satu daripada 100 pantai tercantik di dunia.
Hanya penginapan seperti chalet dan tempat penginapan bersaiz sederhana terdapat di pulau ini. Masa terbaik untuk berkunjung ke Pulau Perhentian adalah di antara bulan Mac dan September. Kebanyakan tempat penginapan akan tutup antara bulan Oktober dan Februari kerana musim monsun.
6. Pantai Penyu & Pantai Emas di Taman Negara Similajau, Sarawak
Taman Negara Similajau terletak di Bintulu, Sarawak, Malaysia Timur. Ia terletak 30 kilometer dari timur laut Bintulu dan 30 minit dari bandar Bintulu dengan menaiki teksi. Taman negara ini ditubuhkan pada 1976. Pantai-pantai yang terkenal di sini adalah Pantai Penyu I & II dan Pantai Emas. Pantai Penyu I & II berada sekitar 6 kilometer dari pejabat taman tersebut manakala Pantai Emas terletak lebih kurang 10 kilometer.
Cara terbaik untuk ke pantai tersebut adalah dengan bot laju dari Dermaga Bintulu. Anda boleh berjemur di bawah matahari, mandi laut atau bersnorkel di sini. Pantai Penyu amat terkenal kerana setiap tahun, penyu akan bertelur di pantai tersebut di antara bulan Mac dan September. Selepas berseronok di pantai, anda boleh kembali ke pejabat taman untuk menikmati flora dan fauna di taman tersebut. Aktiviti lain seperti lawatan bot, merentas hutan dan aktiviti melihat burung boleh diatur di pejabat taman tersebut.
Terdapat chalet dan hostel yang boleh disewa. Kemudahan perkhemahan seperti tempat BBQ juga disediakan bagi penggembara yang gemarkan cabaran. Kesemua ini boleh diatur di pejabat taman. Buatlah tempahan awal bagi memastikan anda berpeluang bagi mengelakkan kekecewaan.
7. Pulau Sipadan
Sipadan merupakan satu-satunya pulau di Malaysia yang terletak di tengah-tengah lautan. Pulau Sipadan telah diisytiharkan sebagai salah satu destinasi menyelam terbaik di dunia disebabkan oleh kekayaan hidupan lautnya. Terletak di bahagian pinggir pantai Sabah di mana bandar yang terdekat ialah Semporna, perjalanan ke Pulau Sipadan dengan bot laju memakan masa selama 30 minit. Untuk ke Semporna, anda perlu mendarat di Tawau sebelum meneruskan perjalanan selama 2 jam dengan kereta.
Pulau Sipadan adalah pulau yang dilindungi dan oleh itu, tidak terdapat sebarang tempat penginapan di pulau itu. Para pengunjung hanya boleh menginap di pulau-pulau lain yang berdekatan seperti Mabul atau Kapalai yang terletak 15 kilometer dari pulau tersebut atau di bandar Semporna. Pulau Sipadan dibuka kepara para pelawat harian dari pukul 8 pagi hingga 3 petang setiap hari dan terhad kepada hanya 120 orang penyelam. Apabila anda menempah pakej pelancongan sambil menyelam dengan pengendali agensi pelancongan, mereka akan uruskan pas harian anda ke Pulau Sipadan. Oleh kerana tidak terdapat sebarang kedai atau restoran di pulau tersebut, pengendali agensi pelancongan akan menyediakan bekalan makanan untuk perjalanan anda.
Sebab utama ke Sipadan adalah aktiviti menyelam dan bersnorkel. Para penyelam dapat menikmati kekayaan hidupan laut dan batu karang yang menakjubkan. Yang paling menarik ketika menyelam di Sipadan adalah Makam Penyu, sebuah gua bawah laut. Anda mungkin dapat melihat bangkai penyu yang terperangkap dan mati lemas dalam gua tersebut. Anda perlu ahli penyelam berkelayakan (“dive master”) untuk membawa anda ke dalam gua tersebut.
Jika anda bukan seorang penyelam, anda boleh bersnorkel di keliling pulau di mana airnya cetek dan anda boleh melihat pelbagai jenis terumbu karang, batu karang dan ikan.
Peringatan: Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, oleh kerana, Sipadan menjadi sasaran para penculik, anda harus berjaga-jaga demi keselamatan diri anda. Angkatan Tentera Laut Malaysia ada membuat rondaan di kawasan perairan ini bagi memastikan keselamatan para pengunjung.
8. Lang Tengah
Lang Tengah adalah pulau di Terengganu yang terletak di antara Pulau Redang dan Perhentian. Bot laju ke pulau ini boleh diatur dari Tanjung Merang di Terengganu oleh tempat peranginan anda. Perjalanan tersebut akan mengambil masa selama 40 minit. Berbanding Pulau Redang, Lang Tengah mempunyai persekitaran yang lebih tenang dan kurang maju.
Sekiranya anda bercadang untuk mengunjungi pulau ini, terdapat empat tempat peranginan yang boleh dipilih. Lautan tropika sekitar Pulau Lang Tengah berwarna firus dan kaya dengan hidupan laut dan batu karang. Lokasi ini merupakan tempat yang amat sesuai untuk bersnorkel dan menyelam. Dua pantai yang sangat digemari para pengunjung adalah Pantai Mat Hassan dan Pantai Pasir Air.
Jika anda berkunjung ke sini di antara bulan April dan Oktober, anda mungkin berpeluang untuk melihat Penyu Hijau dan Penyu Hawksbill bertelur di tepi pantai. Anda tidak digalakkan untuk berkunjung ke pulau ini antara bulan November dan Februari kerana ianya musim monsun ketika itu.
9. Pulau Rawa
Sekiranya anda ingin meluangkan masa bersama orang yang dicintai ataupun inginkan waktu untuk bersendirian, Pulau Rawa memang tempat yang sesuai sekali. Ia terletak di negeri Johor, Malaysia dan boleh diakses dengan bot dari Mersing. Jangkamasa perjalanan dengan bot ialah 45 minit.
Semasa di Pulau Rawa, anda boleh memilih untuk menginap samada di tempat penginapan yang mewah ataupun penginapan ekonomi. Ini adalah dua pilihan sahaja yang tersedia. Walau apapun pilihan anda, anda akan dapat menikmati cuaca panas dan pantai yang berpasir halus. Pulau ini amat sesuai bagi mereka yang berbulan madu atau pasangan yang inginkan percutian romantik. Pulau ini tidak terdapat sebarang kedai, menjadikannya amat sunyi dan terpencil.
10. Pulau Aur
Jika anda inginkan tempat yang menjanjikan ketenteraman dan ketenangan, Pulau Aur adalah tempatnya. Ianya terletak 76 kilometer dari Johor, dengan perjalanan yang memakan masa selama 4 jam dengan bot dari Jeti Mersing atau Singapura. Perkhidmatan bot hanya boleh diatur oleh pihak resort di pulau ini. Terdapat tiga tempat penginapan di sini.
Disebabkan jarak di antara pantai dan pulau begitu jauh, menyelam di pulau ini akan membawa pengalaman yang luar biasa dengan airnya yang begitu jernih. Persekitaran pulau ini merupakan tempat kediaman pelbagai jenis makhluk laut sperti ikan pari, ikan barracuda, penyu dan banyak lagi. Musim menyelam adalah di antara bulan April dan Oktober, dan pakej menyelam boleh ditempah di pusat menyelam di tanah besar.
Bonus: Batu Ferringhi, Pulau Pinang
Pantai-pantai Pulau Pinang merupakan daya tarikan kepada para pelancong sejak tahun 1970-an dan ia telah diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO dalam tahun 2008. Selepas pengisytiharan tersebut, terdapat peningkatan dalam kemasukan pelancong yang ingin melawat tapak warisan di pusat bandaraya dan juga pantai-pantai Batu Ferringhi. Pulau Pinang amat mudah untuk diakses dengan adanya penerbangan dalam negeri dan antarabangsa. Negeri ini juga mempunyai perkhidmatan kereta api yang menghubungkannya dengan negara Thai dan Singapura serta rangkaian lebuhraya yang memudahkan perjalanan antara negeri.
Batu Ferringhi merupakan pantai yang terkenal di Pulau Pinang. Di sepanjang tepi pantai Batu Ferringhi terdapat pelbagai penginapan mewah dan hotel bersaiz sederhana yang bersesuaian untuk pelbagai bajet para pengunjung. Pantainya sibuk dengan bermacam-macam aktiviti sukan air seperti “parasailing”, meluncur atas air dan bot pisang. Anda juga boleh mengambil angin di tepi pantai pada waktu senja ataupun bersantai di atas kerusi berjemur sambil menikmati keindahan pemandangan matahari terbenam.
Selepas matahari terbenam, pasar malam di sepanjang jalan utama Batu Ferringhi akan mula sibuk. Pelbagai gerai menjual cenderahati, pakaian, produk tempatan dan makanan sudah pastinya akan membuat anda berasa puas hati setelah membeli-belah. Jangan lupa untuk menikmati sajian penjaja Pulau Pinang yang terkenal seperti Char Koay Teow dan Laksa kerana makanan inilah yang menjadikan Pulau Pinang salah satu destinasi makanan unggul di dunia.
Perjalanan 30 minit dengan bas atau teksi akan membawa anda ke pusat bandar George Town di mana anda boleh menjelajah kawasan bangunan warisan dan menyaksikan pembuatan hasil tangan tradisi seperti colok Cina.
Anda boleh melawat Pulau Pinang pada bila-bila masa sepanjang tahun.
References:
- http://wikitravel.org/en/Sipadan
- http://www.huffingtonpost.com/viator/malaysias-best-beaches_b_3055533.html
- http://www.malaysia-traveller.com/beaches-and-islands.html
- http://femalemag.com.my/travel/7-amazing-beaches-you-never-thought-existed/
- https://www.insightguides.com/inspire-me/blog/top-5-beaches-in-malaysia
- https://latitudes.nu/10-best-beach-destinations-in-malaysia/
Untuk pautan yang lebih menarik:
- Sistem Beraja di Malaysia
- 25 Makanan Terlazat Di Malaysia
- Pakaian Tradisional Malaysia
- Pesta Perahu Naga: Gabungan Budaya Tradisional dan Moden
- Hari Raya Aidilfitri
- Kaum Cina di Malaysia
- Kaum India di Malaysia
- 6 Incredibly Stunning Big Buddha Statues in Malaysia!
- Top 10 Island Holidays in Malaysia
- Top 10 Hill and Jungle Adventures in Malaysia
- Top 10 Spiritual Power Places in Malaysia
Please support us so that we can continue to bring you more Dharma:
If you are in the United States, please note that your offerings and contributions are tax deductible. ~ the tsemrinpoche.com blog team
DISCLAIMER IN RELATION TO COMMENTS OR POSTS GIVEN BY THIRD PARTIES BELOW
Kindly note that the comments or posts given by third parties in the comment section below do not represent the views of the owner and/or host of this Blog, save for responses specifically given by the owner and/or host. All other comments or posts or any other opinions, discussions or views given below under the comment section do not represent our views and should not be regarded as such. We reserve the right to remove any comments/views which we may find offensive but due to the volume of such comments, the non removal and/or non detection of any such comments/views does not mean that we condone the same.
We do hope that the participants of any comments, posts, opinions, discussions or views below will act responsibly and do not engage nor make any statements which are defamatory in nature or which may incite and contempt or ridicule of any party, individual or their beliefs or to contravene any laws.
Please enter your details