25 Makanan Terlazat Di Malaysia
Ramai orang mengatakan bahawa salah satu perkara paling menarik menetap atau berkunjung ke Malaysia adalah juadah makanan tempatan. Ia bukan sahaja murah malah banyak pilihannya. Di sini saya ingin berkongsi dengan anda beberapa jenis makanan yang boleh anda nikmati di Malaysia. Saya faham bahawa kebanyakkannya adalah makanan berdaging dan saya tidak pernah menggalakkan pemakanan daging. Tetapi kita juga boleh merasa makanan versi vegetarian tersebut yang mungkin lebih lazat dan sihat daripada versi asalnya. Sekiranya anda masih belum pernah mengunjungi Malaysia dan bercadang untuk berkunjung, makanan di sini pasti akan membuat anda kembali ke sini lagi.
25 juadah makanan yang menyelerakan ini jelas menyerlahkan kepelbagaian masakan tradisional Malaysia. Untuk rakan-rakan yang vegetarian seperti saya, jangan risau kerana banyak restoran di Malaysia seperti Kechara Oasis turut menyajikan makanan di bawah berversi vegetarian.
Saya berharap anda semua dapat mencuci mata dengan melihat makanan yang disertakan dalam artikel ini. Sila berkongsi dengan saya pendapat atau pengalaman anda mengenai makanan Malaysia di ruangan komen di bawah.
Tsem Rinpoche
1. Asam Laksa
Asam Laksa adalah mee berasa pedas yang disajikan dengan sup ikan. Ia merupakan salah satu juadah terkenal daripada kalangan kaum Baba dan Nyonya. Baba Nyonya adalah keturunan immigran Cina yang menggabungkan budaya Melayu dan mereka telah mencipta makanan ini yang mempunyai unsur Cina dan Melayu. Makanan ini sangat popular di Malaysia dan anda boleh menikmati makanan ini di mana mana sahaja, terutamanya di serata jalan di negeri Pulau Pinang, salah satu negeri di Malaysia.
Asam Laksa mempunyai campuran ramuan seperti ikan, timun yang dipotong halus, bawang, nanas, cili merah, daun salad, daun kesum dan bunga kantan. Ia dihidang dengan mee tebal berwarna putih dan kuah ikan yang dicampur dengan pes udang untuk manambah rasa. Sesetengah orang mungkin kurang selesa dengan pes ini kerana rasanya yang hanyir.
Asam Laksa versi vegetarian boleh didapati di Be Lohas di KLIA2, Water Lily Restaurant di Kuala Lumpur dan Veggie Planet di Melaka.
2. Rojak
Rojak merupakan juadah salad tradisional yang mengandungi pelbagai jenis buah-buahan dan sayur-sayuran. Biasanya ia dihidang bersama dengan banyak pes udang, walaupun ia mungkin tidak sesuai untuk sesetengah orang yang tidak tahan dengan rasa hanyirnya. Di Malaysia terdapat empat jenis rojak iaitu rojak buah, rojak Penang, rojak sotong kangkung dan rojak India.
Rojak buah biasanya mengandungi hirisan timun, nanas, sengkuang, tauge dan tauhu goreng. Kuah rojak pula diperbuat dengan belacan, air, gula, jus limau nipis, cili dan ditabur dengan kacang tanah yang dikisar.
Rojak Penang agak sama dengan rojak buah, kecuali ditambah dengan ramuan seperti jambu batu, jambu air, mangga dan sotong goreng. Kuah rojak ini pekat seakan karamel.
Rojak sotong kangkung merupakan satu makanan popular di seluruh Malaysia dan boleh didapati di banyak gerai makanan. Rojak ini mengandungi sotong, kangkung, timun, tauhu, kacang, cili dan sos.
Rojak India juga dikenali sebagai rojak mamak atau pasembor, disaji dengan kuah kacang pekat berasa manis pedas. Kandungan rojak ini termasuk kentang rebus, telur rebus, tauge dan timun. Terdapat juga rojak India yang mengandungi tauhu, cucur goreng, udang goreng ataupun sotong.
Rojak adalah juadah harian yang boleh didapati di restoran, kedai mamak, trak makanan malah di gerai tepi jalan sahaja.
3. Roti Canai
Roti Canai adalah sejenis roti leper India yang boleh didapati di kebanyakan kedai mamak di Malaysia. Kedai mamak terkenal dengan makanan India dan dijayakan oleh imigran Tamil Muslim yang telah lama menetap di Malaysia. Roti Canai juga dikenali sebagai ‘roti terbang’ kerana proses lemparan dan pusingan sebelum dimasak. Selain itu, Roti Canai juga dikenali sebagai penkek India. Biasanya Roti Canai dihidang bersama dengan kuah kacang dhal, atau aneka jenis kari di kedai mamak seperti kari ikan, kari ayam, kari kambing dan sebagainya. Ia juga boleh dihidangkan dengan gula pasir yang sesuai kepada individu yang menggemari makanan manis.
Selain itu, terdapat banyak pilihan Roti Canai lain seperti Roti Telur, Roti Tisu yang nipis, roti bawang, roti telur bawang, roti pisang, roti planta yang sering dihidang dengan gula pasir, dan banyak lagi.
4. Nasi Lemak
Nasi Lemak adalah juadah makanan Melayu, dimasak dari beras wangi bersama dengan santan kelapa dan daun pandan. Ia juga digelar sebagai juadah kebangsaan Malaysia dan sangat mudah didapati. Juadah ini juga sangat popular di negara jiran seperti Indonesia, Singapura, Brunei dan Selatan Thailand.
Nasi lemak tradisional di Malaysia biasanya mengandungi ikan bilis goreng, sambal tumis, kacang dan telur rebus. Kebanyakan gerai nasi lemak juga menyajikan nasi lemak sambal kerang dengan telur goreng, sambal sotong, ayam goreng, rendang, sambal ikan dan banyak lagi. Jika anda seorang vegetarian, anda tidak perlu risau kerana terdapat banyak restoran seperti Simple Life di Kuala Lumpur dan Yummy Garden di Jalan Ujong, Melaka yang menyajikan nasi lemak vegetarian. Restoran ini menggantikan ikan bilis dengan ikan bilis vegetarian.
5. Chee Cheong Fun
Chee Cheong Fun adalah sejenis makanan mee gelung. Ia merupakan makanan Kantonis dan berasal dari China selatan dan Hong Kong. Di Malaysia dan Singapura, Chee Cheong Fun biasanya dihidang dengan sos soya manis berwarna hitam. Chee Cheong Fun versi Pulau Pinang pula menggunakan pes udang, berwarna hitam, berasa manis dan pekat seperti karamel.
Di Ipoh, satu lagi daerah yang popular dengan makanan di Malaysia, Chee Cheong Fun biasanya dihidang dengan dua cara, kering atau bersos. Versi kering sering dihidangkan dengan bijian, sos soya, bawang goreng, minyak bawang, sos cili dan jeruk cili.Versi bersos pula dihidangkan dengan kuah kari dan cendawan.
Sesetengah lokasi mungkin mempunyai variasi cara penghidangannya. Anda dapat menikmati Chee Cheong Fun di mana-mana jua sekitar Malaysia.
6. Apam Balik
Apam Balik, juga dikenali sebagai ban jian kuih (penkek yang diterbalikkan), adalah sejenis penkek yang leper dan sangat biasa dijumpai di kawasan Asia Tenggara. Ia dijual secara meluas di gerai penjaja di seluruh Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei.
Bahan utama Apam Balik adalah tepung, santan kelapa, air, gula, telur dan soda penaik. Inti tradisional untuk Apam Balik termasuklah kacang yang dikisar dengan gula, kelapa hiris dan jagung manis. Apam Balik telah diisytiharkan sebagai makanan warisan oleh Jabatan Warisan Kebangsaan Malaysia.
7. Mee Kari
Mee Kari adalah juadah yang penuh berperisa dan makanan unik hasil daripada daripada sebatian makanan Cina dan India. Ia sangat mudah didapati di Malaysia dan Singapura. Ramuannya seperti mee kuning atau bihun dengan kuah kari yang pedas yang diadun sempurna dengan santan kelapa, pes cili, tauhu kering, udang, sotong, ayam, kerang dan daun pudina.
8. Mee Hokkien Penang
Mee Hokkien Penang boleh didapati di Malaysia dan Singapura. Juadah ini berasal dari daerah Fujian (Hokkien) di China yang terkenal dengan makanan mee ikan.Mee Hokkian tradisi dihidang dengan kuah pedas berasaskan udang, potongan ayam atau khinzir, sotong, udang, kek ikan, kangkung dan sambal.
Mee Hokkian merupakan juadah yang biasa didapati di Malaysia terutamanya di Pulau Pinang. Kuahnya yang kaya berperisa membuatkan ramai suka makanan ini.
9. Satay
Satay adalah juadah daging yang diperap, kemudian dicucuk dan dibakar. Di Malaysia, Satay dihidang dengan kuah kacang yang diserikan dengan potongan bawang dan timun. Satay juga boleh dibuat daripada potongan daging ayam, daging kambing, daging lembu dan pelbagai lagi. Satay biasanya dibakar dengan api kayu arang.
Satay boleh didapati di medan selera di seluruh Malaysia, di gerai penjaja dan pasar malam. Kini dengan keperluan makanan vegetarian yang semakin tinggi, Satay juga boleh didapati di restoran vegetarian seperti Kechara Oasis dan Beyond Veggie oleh Secret Recipe.
Satay biasanya dimakan bersama dengan ketupat. Ketupat adalah nasi yang dibalut dengan daun kelapa dalam bentuk segi tiga. Ia merupakan makanan ruji bagi masyarakat tempatan dan dijamu sebagai penggantian kepada nasi biasa. Daun kelapa dibuka dan ketupat akan dipotong kecil apabila dihidangkan dengan satay.
10. Lok-Lok
Lok-Lok adalah steamboat versi Cina, dimana makanan akan dicucuk dengan kayu kecil dan direndam ke dalam air mendidih atau sup panas sehingga masak. Kemudian ia boleh dinikmati dengan pelbagai pilihan sos. Biasanya ia dimakan dengan kuah kacang, sos cili atau sos manis untuk menambah rasa.
Lok-Lok boleh didapati di gerai penjaja, medan selera dan di mana mana kawasan ramai orang di bandaraya dan pekan Malaysia. Lok-Lok mengandungi pelbagai ramuan seperti kepah, kerang, usus khinzir, hati khinzir, sosej, bebola ikan, bebola daging, bebola sotong, udang, sayuran, daging vegetarian, cendawan dan aneka juadah yang telah dimasak seperti wantan dan tauhu goreng.
11. Kuey Teow Th’ng
Kuey Teow Th’ng (Kuet Teow Sup) adalah sejenis makanan tradisional masyarakat Cina, iaitu Kuey Teow yang dihidang dalam mangkuk dengan sup ayam atau sup itik. Ramuannya termasuk kek ikan, bebola ikan, hirisan daging ayam atau itik, potongan daun bawang, tauge dan disaji dengan sos cili. Kelazatan juadah tradisional Malaysia ini memang tidak terkata dan terdapat juga versi vegetarian makanan ini.
Jika anda berkunjung ke Malaysia untuk bercuti, anda mesti mencuba Kuey Teow Th’ngyang dikenali dengan kelazatannya di Pulau Pinang.
12. Char Kuew Teow
Char Kuew Teow adalah juadah yang tersohor di dunia yang boleh didapati di Malaysia dan Singapura. Char Kuew Teow (mee leper) digoreng dengan kepanasan tinggi dengan sedikit kicap soya cair, kicap soya pekat, cili, sedikit pes udang, udang, kerang, tauge dan daun kucai. Char Kuew Teow biasanya digoreng bersama dengan telur, potongan sosej, kek ikan, tauge dan lain-lain ramuan. Asalnya Char Kuew Teow ini digoreng dengan lemak khinzir dan juga kruton rangup lemak khinzir. Char Kuew Teow dihidangkan di atas daun pisang di dalam pinggan untuk meningkatkan lagi aromanya. Versi vegetarian yang enak juga boleh dibuat kerana kebanyakan penjaja akan cuba memuaskan hati pelanggannya.
13. Mee Wanton
Mee Wanton adalah satu juadah Kantonis yang berasal dari Guangzhou, China. Ia juga dihidangkan secara meluas di negara seperti Hong Kong, Singapura, Malaysia dan Thailand. Terdapat dua versi Mee Wanton yang biasa didapati. Versi yang pertama, mee dihidangkan dengan semangkuk sup ayam, dan versi yang kedua pula, mee dihidangkan dengan sos soya hitam. Juadah tambahan termasuklah daun sawi, wantan, daging khinzir bakar lima rasa dan daun bawang. Mee Wantan boleh didapati di kebanyakan restoran dan medan selera di Malaysia.
14. Otak-Otak
Otak-Otak adalah makanan yang berasal dari Indonesia, tetapi kami juga berpeluang untuk menjamu makanan ini di negara lain seperti Malaysia dan Singapura. Makanan ini digelar sebagai ‘kerana isinya bertekstur lembut dan lembik.
Otak-Otak biasanya dimakan bersama dengan nasi. Ramuan utamanya adalah ikan, rempah ratus dan daun kucai yang dibalut dalam daun pisang. Anda dapat menikmati makanan ini di restoran yang popular seperti Nyonya Colours dan Lorong Seratus Tahun. Versi vegetarian yang dibuat daripada daging vegetarian juga boleh didapati.
15. Bihun Goreng Ekonomi
Bihun Goreng Ekonomi adalah satu juadah yang ringkas di Malaysia dan Singapura, ia biasanya disaji sebagai sarapan. Ia sememangnya ekonomi dengan ramuan tambahan yang ringkas seperti kobis dan telor.
Bihun Goreng Ekonomi nampak ringkas tetapi sedap. Terdapat juga pelbagai juadah yang boleh dinikmati bersama Bihun Goreng Ekonomi seperti kari sayur, sambal kacang panjang, kek ikan, kobis dan telur goreng.
16. Mee Goreng Mamak
Mee Goreng mamak, satu lagi juadah yang ringkas dan enak, boleh didapati di Malaysia, Indonesia dan Singapura. Juadah ini biasanya dimasak bersama dengan ikan, ayam atau udang, cili, sawi, kobis, tomato, telur, bawang merah dan bawang putih. Anda boleh manikmati juadah ini kedai mamak di serata Malaysia.
17. Nasi Ekonomi
Nasi Ekonomi juga dikenali sebagai nasi campur dan boleh dinikmati di Malaysia, Singapura dan Thailand. Nasi Campur tidak merujuk kepada lauk-pauk yang khas dan boleh didapati di banyak gerai makanan. Anda boleh memilih mana-mana lauk dari 10 hingga 20 jenis lauk-lauk, bergantung kepada gerai makanan tersebut. Kebanyakan lauk-pauk Nasi Ekonomi merupakan makanan Cina. Nasi Ekonomi biasanya murah, sebab itu ia juga dinamakan sebagai Nasi Ekonomi.
18. Bak Kut Teh
Bak Kut Teh adalah satu juadah Teo Chew terkenal yang berasal dari China. Ia juga didapati di Malaysia, Singapura, Sumatera, Thailand selatan dan Indonesia. Bak Kut Teh diterjemahkan sebagai teh tulang khinzir. Ia direbus dengan herba Cina, bawang putih, bunga lawang, kayu manis, cendawan, choi-sum, kulit tauhu dan tauhu kering. Biasanya dihidangkan dengan nasi kukus dan cakoi dicelup dalam sup Bak Kut Teh. Banyak restoran di Malaysia, terutamanya di Klang dan Kuala Lumpur terkenal dengan Bak Kut Teh.
19. Mee Hokkien KL
Mee Hokkien KL adalah Mee unik berwarna hitam dari Kuala Lumpur yang digoreng dengan api arang kayu. Mee ini digoreng dengan lemak khinzir, bawang putih, daging khinzir, hati khinzir, udang, sotong dan kobis. Stok perisa akan ditambah perlahan-lahan ketika proses menggoreng agar mee boleh menyerap perisa dengan perlahan, memberikan tekstur pekat kepada juadah ini. Kicap soya yang banyak juga akan diadun ke dalam juadah ini.
20. Nasi Kandar
Nasi kandar adalah juadah utara popular berasal dari Pulau Pinang. Ia mengandungi nasi kukus wangi yang disiram dengan pelbagai jenis kari dan beberapa jenis lauk tambahan. Nasi Kandar juga boleh dijamu bersama ayam goreng, rendang, kambing, ikan goreng, udang goreng, sotong goreng, daging lembu dan pelbagai lagi. Menu vegetarian biasanya mengandungi terung, okra, ulam dan peria goreng. Kepelbagaian jenis kari dan lauk-pauk membuatkan Nasi Kandar begini kaya dan unik rasanya.
21. Nasi Dagang
Nasi Dagang adalah makanan Malaysia dan Thailand Selatan. Ia dihidang dengan nasi lemak kukus yang dimasak dengan santan kelapa dan biji halba, memberikan aroma unik kepada nasinya. Lain-lain ramuan untuk dinikmati bersama nasi adalah kari ikan, telur rebus, jeruk sayuran dan ayam atau rendang daging. Makanan ini boleh dinikmati di sepanjang Pantai Timur Semenanjung Malaysia dan juga Thailand Selatan.
22. Nasi Briyani
Nasi Briyani adalah nasi campur India yang dimasak dengan beras basmathi diadun dengan pelbagai jenis rempah ratus, yogurt, daging dan sayuran. Ramuan dan rempah yang mungkin digunakan termasuklah buah pala, lada kering, bunga cengkih, minyak sapi, buah pelaga, daun bay, kayu manis, ketumbar, daun pudina, halia, bawang dan bawang putih.
Terdapat pelbagai jenis Nasi Briyani seperi briyani cendawan, briyani daging dan briyani sayuran. Kebanyakan juadah ini boleh didapati di restoran mamak atau restoran India di seluruh Malaysia.
23. Cendol
Cendol adalah makanan pencuci mulut yang berasal dari Indonesia. Ramuannya termasuk santan kelapa, jeli hijau yang panjang yang diperbuat daripada tepung beras dan pewarna hijau yang diperbuat daripada daun pandan, ais batu yang dikisar dan gula melaka.
Cendol biasanya boleh didapati di seluruh Malaysia. Sekarang is juga dihidangkan dengan aneka perisa tambahan seperti kacang merah, cincau, biji jagung dan nasi pulut. Cara pemakanan baru cendol juga disajikan dengan isi durian dan nangka.
24. Ais Kacang
Ais Kacang adalah satu juadah pencuci mulut yang popular di Malaysia. Tradisionalnya, Ais Kacang dibuat daripada ais yang dikisar dan dicampur dengan kacang merah. Namun kini, ramuan Ais Kacang juga dihidang dengan pelbagai jenis bahan seperti buah-buahan yang mambuatkannya berwarna-warni.
Biasanya ia dihidangkan dengan biji sawit, kacang merah, jagung manis, cincau, agar-agar, kacang dan aiskrim. Tambahan terakhir yang melengkapkan juadah ini adalah susu pekat, susu sejat dan/atau santan kelapa yang dituang ke atas timbunan ais yang dikisar beserta dengan sedikit sirap ros. Terdapat pelbagai versi Ais Kacang yang boleh didapati di serata Malaysia, dan ada yang menggantikan santan kelapa dengan gula Melaka.
25. Durian
Durian merupakan buah-buahan yang sangat popular di Asia Tenggara. Durian yang begitu terkenal dengan bau unik dan kuatnya, dengan tekstur yang lembut juga digelar sebagai Raja Buah. Kulitnya tebal berduri, berwarna hijau dan tidak boleh dimakan. Bijinya dilitupi oleh isi kekuningan bertekstur kastard dan boleh dimakan.
Disebabkan oleh baunya yang kuat, Durian tidak dibenarkan untuk dihidangkan di restoran atau hotel tertentu. Ada yang menggemarinya, ada yang tidak menggemarinya, itulah Durian.
Makanan Versi Vegetarian
Kepada warga vegetarian, anda boleh menikmati aneka juadah makanan Malaysia. Di bawah adalah senarai restoran yang menyediakan juadah vegetarian yang dimasak secara tradisional. Ini hanya senarai yang ringkas sahaja dan pelbagai restoran vegetarian boleh didapati di semua bandaraya dan pekan utama di seluruh Malaysia.
Kechara Oasis Jaya One
Alamat:
63 & 67-P1, Block D,
The Suites, Jaya One,
No 72A, Jalan Universiti,
46200 Petaling Jaya,
Selangor Darul Ehsan.
Laman web: http://www.kecharaoasis.com
Telefon: +6012 8188 384
Waktu operasi: Monday – Sunday 11am – 3pm & 6pm – 10pm
Kechara Oasis Viva Home Mall
Alamat:
Lot 2.08 2nd Floor,
West Wing,
Viva Home Mall,
85 Jalan Loke Yew,
55200 Kuala Lumpur.
Laman web: http://www.kecharaoasis.com
Telefon: +6012 8188 384
Waktu operasi: Monday – Sunday 11am – 3pm & 6pm – 10pm
Be Lohas, KLIA2
Alamat:
L2M-19, Level 2M,
Terminal KLIA2,
Jalan KLIA 2/1,
64000 Sepang.
Telefon: +608 7878 165
Waktu operasi: 6am – 12am
Water Lily Vegetarian Restaurant
Alamat:
23 Jalan Tun H S Lee,
50000 Kuala Lumpur.
Telefon: +603 2070 6561
Waktu operasi: 10am – 9:30pm
Beyond Veggie
Terdapat lebih kurang 14 Restoran Beyong Veggie di Malaysia.
Waktu operasi: 10am – 11pm atau seperti waktu operasi pusat beli-belah yang mempunyai restoran ini.
Veggie Planet
Alamat:
41&43, Jalan Melaka Raya 8,
Taman Melaka Raya,
75000 Malacca.
Telefon: +606 2922 819
Waktu operasi: 9am – 10pm
Simple Life
Terdapat lebih kurang 11 Restoran Simple Life di Malaysia.
Waktu operasi: seperti waktu operasi pusat beli-belah yang mempunyai restoran ini.
Yummy Garden Food Court
Alamat:
16-A, Jalan Ujong Pasir,
Melaka.
Telefon: +6012 601 5677
Waktu operasi: 5pm – 5am
Untuk maklumat lanjut:
- Vegetarian Restaurant Review
- Nice Indian Food
- Top Reasons to Take Warm Turmeric Water in the Morning
- Can You Make This?
- Dr Jiang’s DELICIOUS HEALTHY RECIPES/videos
- 50 Incredible Vegetarian/Vegan Recipes!
- Saffron
Please support us so that we can continue to bring you more Dharma:
If you are in the United States, please note that your offerings and contributions are tax deductible. ~ the tsemrinpoche.com blog team
kenapa korang tak tambah tosai ?u are ver noobs laaaaaa tambah lah tosaiii???????????
Hahaha kerana tidak semua orang berkongsi citarasa yang sama 😉 tetapi saya bersetuju dengan anda, tosai sangat lazat! 😀
Saya juga berbangga menjadi rakyat Malaysia.
Pelbagai makanan dari berbilang bangsa dan kaum boleh kita nikmati
Sebagai warga Cina dalam Negara ini, saya rasa amat berhormat and bangga hidup dalam komuniti tanahair ini. Memang tidak dapat diabaikan, sejak tahun 1957 Negara Malaysia merayakan kemerdekaan, revolusi penyatuan kaum telah berfungsi dengan lancar.
Pada pendapat saya, sebab Negara Malaysia menjadi masyhur pertamanya, cuaca yang panas dan lembab. Ramai penghuni dan penggunjung luar Negara luar terpesona dengan cuaca di sini. Kedua, sikap semua warganegara yang ramah dan mesra memberi gambaran baik kepada ramai termasuk orang tempatan dan yang ketiga ialah Negara Malaysia memiliki seorang pemimpin Negara yang berbaik hati dan berkaliber(dulu).
Dengan adanya kebebasan dalam pilihan, terlibatlah kacukan kaum bahkan makanan tempatan. Terdapat beberapa makanan yang digemar ramai termasuk berbagai kuih muih dari peranakan, kuih orang Melayu Cina dan sebagainya. Masakan India termasuk daging rendang tetapi sekarang wujudnya ayam rendang telah menjadi tradisi terbaru. Dalam golongan Melayu pula, makanan snek biasanya adalah masakan goreng iaitu goreng pisang, goreng ubi, goreng cempedak dan lain-lain.
Sungguhpun, makanan lazat memukau citarasa, tetapi kami harus berhati-hati akan kesihatan sendiri. Terlampau pengambilan makanan akan mengakibatkan masalah kronik. Hargailah nyawa sendiri dan harus abaikan daging sebagai nasihat untuk semua. Amat berterima kasih kepada Rinpoche berkongsi artikel ini.
This article really sums up the best food in Malaysia. This will be my “check list” for me to bring my foreigner friends when they are in Malaysia if they want to try the most tasty food in Malaysia. Although many of the dishes are started out as meat based, there are many vegetarian version as well. This is a MUST SHARE articles for all the food adventures in Malaysia!
Malaysia memang mempunyai banyak makanan-makanan yang berbeza dan lazat. Ia berbeza dari segi budaya dan tradisi yang berlainan berhasil daripa kaum-kaum rakyat yang berbeza. Dan, kebanyakan rasa-rasa semua makanan yang enak ini bolih di masak tanpa pengorbanan nyawa-nyawa binatang seperti dibukti olih restoran-restoran seperti Simple Life. Kita tidak rugi apa-apa dari segi keenakan makanan kalau daging di keluarkan daripada makanan kita.
Terima kasih keran sudi membangkitkan perkara pengorbanan nyawa binatang dan juga masakan=-masakan yang enak dari restoran-restoran vegetarian.
Masyarakat majmuk Malaysia telah melahirkan pelbagai juadah yang telah menjadi kegemaran bukan sahaja rakyat Malaysia, malah para pengunjung ke negara ini. Bagi kami yang menetap di Malaysia, kami amat bertuah kerana terdapat bermacam-macam makanan dan minuman yang enak-enak yang boleh dinikmati di mana sahaja, tak kira masa juga. Sebagai seorang vegetarian, memang senang untuk saya mencari makanan vegetarian ataupun tanpa daging dengan adanya kedai dan warung makan yang sudi mengubah cara masakan mereka bagi memenuhi cara pemakanan saya.
Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Rinpoche kerana hasil tulisan Rinpoche ini telah mengingatkan saya supaya bersyukur kerana dilahirkan di negara yang kaya bukan sahaja dari segi pelbagai makanan yang lazat, tetapi sebuah negara indah dengan rakyatnya yang berbilang kaum yang hidup dengan harmoni, saling menghormati dan aman damai.
Berjenis-jenis makanan lazat di Malaysia ini mencerminkan sejarah lama berbagai-bagai rumpun yang duduk di tanah air bertuah ini. Rumpun Portugis, Timur Tengah, dan berbagai rumpun Asia dari Asia Barat ke Asia Timur semuanya bergaul lama dan sama-sama berkongsi menjadikan negara “Malaysia Truly Asia”. Ini merupakan keunikan and ketabahan semulajadi Malaysia.
Wah, gambar-gambar makanan semua ini kelihatan begitu lazat! Semua rakan-rakan saya dari luar negeri, apabila mencuba makanan kita, ada komen yang sama, iaitu mereka suka makanan kita!
Orang Malaysia memang bertuah. Makanan kita memang sedap and beraneka jenis. Kita tak payah masak pun dapat menikmati makanan sedap.
Terima kasih Rinpoche, berkongsi dengan kita di mana kita boleh dapat makanan versi vegetarian.
Semoga lebih ramai orang akan mencuba makanan tanpa daging. Sayangi la nyawa sendiri and makhluk lain.